malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Emery akhirnya angkat kaki dari Emirates
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 8:41 PM
Dikemaskini: 12:41 PM
ADS

Hanya sempat bersama 18 bulan, Unai Emery kini berdepan dengan takdirnya untuk meninggalkan Emirates dan mencari pasukan lain untuk dikendalikan.

Petang tadi (waktu Malaysi) Arsenal mengumumkan pemecatan Emery selepas pengurus dari Sepanyol itu gagal menunjukkan keputusan yang diharapkan.

Berita pemecatan itu hadir selepas The Gunners diaibkan 1-2 oleh kelab dari Jerman, Eintracht Frankfurt dalam perlawanan Liga Europa awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Arsenal memaklumkan keputusan itu diambil selepas Emery gagal menunjukkan keputusan dan persembahan yang baik dalam permainan mereka.

"Keputusan ini diambil kerana persembahan dan keputusan yang dicapai tidak berada pada tahap yang memuaskan," kata kenyataan tersebut.

Pihak pengurusan kelab pada masa sama mengumumkan bekas pemain kebangsaan Sweden, Freddie Ljunberg, bakal menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Emery untuk sementara waktu.

Pernah turut menyarung jersi kelab itu pada zaman keemasannya, Ljunberg hadir ke Emirates sebagai jurulatih pasukan bawah 23 pada musim panas 2018.

Walaupun meyakini keupayaan Ljunberg untuk membawa pasukan itu, namun pihak pengurusan menjelaskan mereka akan segera mencari pengganti tetap Emery dan akan membuat pengumuman rasmi selepas menemui calon sesuai.

Emery yang dibawa masuk bagi menggantikan Arsene Wenger pada tahun lalu gagal untuk membawa kelab itu kembali ke puncak prestasi sebenar mereka.

Pada musim pertama mereka, Emery yang juga bekas pengurus pasukan Paris Saint Germain gagal membawa pasukan itu menduduki empat tempat teratas sekaligus menyaksikan mereka terlepas untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Musim ini pula di bawah bimbingannya Arsenal hanya mampu mencatatkan empat kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 13 perlawanan.

Arsenal juga gagal mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga musim ini sebelum pemecatan Emery dan hanya menduduki tangga kelapan dalam carta liga setakat ini.

Lihat Komen