malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Presiden Maba bercuti, ambil tanggungjawab isu bendera berbucu lima
Diterbitkan:  Nov 28, 2019 5:25 PM
Dikemaskini: 9:26 AM
ADS

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Lua Choon Hann, secara sukarela bercuti secara sukarela daripada jawatannya susulan insiden paparan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima semasa majlis perasmian kejohanan persatuan itu 25 November lalu.

Hal itu, kata MABA, diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa berkaitan meneruskan siasatan terhadap insiden tersebut.

“Lua berasakan sebagai presiden Maba, beliau patut bertanggungjawab penuh terhadap organisasi dan tatacara persatuan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28, di Kuala Lumpur, bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima dan 11 jalur merah putih dipaparkan menerusi klip video pada skrin LED ketika lagu Negaraku berkumandang.

Insiden itu menyebabkan banyak pihak meluahkan kekecewaan, khususnya di media sosial kerana menganggapnya sebagai tidak menghormati Jalur Gemilang.

Bendera Malaysia sepatutnya mempunyai imej bintang berbucu 14 dan 14 jalur merah dan putih, sebagai simbol yang melambangkan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk negara ini.

Maba telah membuat permohonan maaf pada malam sama insiden itu terjadi.

Prosedur persatuan diperkemas

Sementara itu, Maba turut melahirkan kekecewaan terhadap satu syarikat yang dikatakan bertanggungjawab mengendalikan penstriman acara itu secara langsung.

Kata Maba, syarikat terbabit menghasilkan serta memaparkan paparan bendera yang menjadi pertikaian pada skrin LED semasa kejadian.

“Maba telah menamatkan kontrak mereka pada hari kejadian. Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Maba turut menegaskan bahawa insiden itu tidak disengajakan dan berpunca daripada kecuaian. Pertubuhan berkenaan turut memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan pihak berkuasa.

Kata persatuan itu juga, mereka telah telah mengambil langkah yang sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan selain meningkatkan kemahiran kakitangan agar insiden tidak diingini dapat dielakkan pada masa hadapan.

Lua telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pagi kelmarin bagi memberi keterangan berhubung isu itu, manakala “sebuah syarikat tempatan” yang didapati mengeluarkan bendera tersebut akan turut dipanggil.

"Kami akan panggil mereka tak lama lagi. Kami mahu tanya kepada mereka bagaimana perkara ini boleh dipaparkan dengan cara seperti itu," kata polis dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

Lihat Komen