malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Pukul penyokong: Laskar Merah Putih desak M'sia ambil tindakan
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM
ADS

Sekumpulan 200 warga Indonesia hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, meminta kerajaan Malaysia segera mengambil tindakan terhadap pelaku yang mencederakan penyokong bola sepak Indonesia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Umum Laskar Merah Putih, sebuah badan aktivis masyarakat Indonesia, Ade Erfil Manurung berkata mereka juga mahu kerajaan Malaysia memohon maaf secara rasmi berhubung kejadian yang menimpa warga Indonesia itu.

"Kami menuntut pemerintah Malaysia segera menangkap, menahan dan mengadili mereka yang melakukan kekerasan terhadap penyokong bola sepak Indonesia," katanya.

Demonstrasi secara aman itu berakhir selepas Ade Erfil Manurung menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada Atase Polis Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob.

Pada 19 Nov lalu, kekecohan berlaku selepas Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada 23 Nov lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video tular yang mendakwa warga Indonesia dipukul penyokong bola sepak Malaysia tidak berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata penularan video berkenaan dimuat naik bertujuan menjatuhkan reputasi Malaysia.

Video berdurasi 48 saat itu menunjukkan mangsa didakwa warga Indonesia kononnya dipukul 'penyokong Malaysia' selepas perlawanan tersebut.

Polis Malaysia sedang meneliti video tersebut termasuk bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Perkara itu turut mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan yang telah memfailkan laporan polis agar kesahihan video tersebut dapat disiasat.

Polis turut meminta individu yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen