malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Atlet Indonesia termakan babi di Sukan SEA
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM
ADS

Belum pun bermula secara rasmi, namun Sukan SEA ke-30 di Filipina terus mencipta kontroversi dalam penganjurannya kali ini.

Terbaru, kecuaian - atau sikap tidak endah - penganjur temasya dwitahunan itu menyebabkan ada pemain bola sepak Indonesia termakan daging babi gara-gara tiada makluman mengenai status halal atau haram makanan yang dihidang.

Pegawai media skuad kebangsaan Indonesia,  Gatot Widardo, berkata setakat ini keadaan itu masih belum diatasi.

"Kita berharap mereka (penganjur) dapat mengatasi perkara ini dan mengasingkan makanan halal dan tidak halal," katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Kekurangan bekalan makanan halal merupakan salah satu daripada isu yang timbul dalam penganjuran Sukan SEA kali ini.

Portal berita South China Morning Post (SCMP) semalam melaporkan atlet beragama Islam merungut kerana berdepan masalah kekurangan bekalan makanan halal di kejohanan terbesar Asia Tenggara itu.

Laporan tersebut menyebut pegawai Suruhanjaya Kebangsaan untuk Muslim Filipina (NCFM), Ramadan Aguan, mengatakan pihak penganjur tidak mengendahkan permintaan mereka untuk menghidangkan makanan halal yang mencukupi kepada para peserta beragama Islam yang hadir ke negara itu.

Pas dianggap tak sah

"Kami sudah banyak kali memberi peringatan kepada penganjur Sukan SEA untuk memastikan bekalan makanan halal mencukupi namun kami sendiri tidak tahu mengapa mereka seperti tidak mengendahkan perkara ini," katanya kepada SCMP.

Antara isu lain yang menyelubungi kejohanan kali ini adalah kegagalan Filipina menyiapkan infrastruktur sebelum kejohanan bermula, serta gagal menyediakan kemudahan logistik kepada pasukan bertanding.

Paling mencuri tumpuan sebelum ini adalah situasi yang menyaksikan pasukan bola sepak Kemboja terpaksa menunggu selama beberapa jam di lapangan terbang sebelum dibawa ke tempat penginapan, dan kemudian menunggu lagi lapan jam sebelum mendaftar masuk ke bilik hotel mereka.

Lebih teruk, kegagalan pihak tuan rumah kali ini juga bukan saja memberi kesan kepada atlet yang bertanding malah turut dirasai pengamal media yang bertugas untuk membuat liputan.

Semalam wartawan Malaysia, Suzana Basri, ketika ditemubual CNN Filipina mendedahkan dia tidak dibenarkan masuk ke gelanggang polo air selepas pihak penganjur mengatakan pas media yang dimilikinya tidak sah.

"Kami datang ke sini dan menunggu hampir sejam namun tidak dapat masuk.

"Kami mempunyai pas namun mereka mengatakan ia tidak sah untuk masuk ke sini (gelanggang acara polo air)," katanya. 

Lihat Komen