malaysiakini logo
story-image
ADS

Dunia kewartawanan dan dunia seni bela diri jarang-jarang bertemu.

Namun, mengambil kira landskap kewartawanan dan industri media yang berada dalam keadaan genting, penulis sukan dan editor, Haresh Deol masuk gelanggang oktagon seni bela diri campuran demi industri kewartawanan.

Dalam perlawanan amal Fight For Change 2019 yang berlangsung di Kelab Ragbi Cobra Petaling Jaya semalam, Haresh bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan dan pengalaman dimiliki lawannya Shareh ‘The Jeneral’.

Beraksi di hadapan hampir 200 penonton, Haresh berjaya memberikan saingan sengit dalam perlawanan amal tersebut.

Selepas sesi bertukar tumbukan dan sepakan dengan Shareh, Haresh akhirnya dijatuhkan di penjuru gelanggang dan tewas melalui keputusan submissive melalui gerakan rear naked choke.

Pertarungan yang berlangsung satu pusingan selama satu minit tiga puluh tujuh saat itu bagaimanapun berjaya membuatkan para penonton yang hadir bersorak meriah sepanjang aksi berlangsung.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas perlawanan tersebut, Haresh yang kelihatan sedikit kecewa memberitahu dia mengharapkan dapat bertahan sekurang-kurangnya sehingga satu pusingan.

“Saya mengharapkan satu pusingan disebabkan persediaan yang telah dilakukan.

“Tetapi ini adalah sukan. Bukan sekadar seni bela diri campuran (MMA) tetapi ini adalah sukan di mana segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Haresh, perlawanan itu adalah bagi tujuan yang lebih besar termasuklah memberi kesedaran tentang sukan MMA yang dianggap berbahaya dan juga kebajikan wartawan di negara ini.

Shareh, atau nama sebenarnya Shareh Nasrullah yang merupakan atlet MMA profesional memuji aksi yang dipamerkan Haresh.

Ketika ditemui selepas perlawanan di bilik persalinannya, Shareh menjelaskan perancangan awalnya adalah untuk melalui perlawanan secara standing fight.

“Perancangan awal saya adalah untuk tidak sampai sehingga tiga pusingan kerana saya tahu tahap kecergasan saya tidak berada dalam keadaan yang begitu baik.

“Dan Haresh punya tahap kecergasan yang sangat baik. Dia sangat bagus," katanya.

Tambah Shareh, hanya pengalaman yang memisahkan dia dengan Haresh pada perlawanan itu.

“Dia sebenarnya sangat bagus, cuma kurang dekat situ adalah pengalaman.

“Kalau ada pengalaman mungkin lepas ini dia lalui dua atau tiga perlawanan amatur dia boleh menjadi seseorang dalam arena ini,” katanya.

Perlawanan amal itu dianjurkan portal berita Twentytwo13 dan Malaysia Mix Martial Association serta mendapat sokongan National Press Club of Malaysia.

Pengarah urusan portal berita itu Pearl Lee berkata mereka setakat malam ini berjaya mengumpulkan hampir RM20,000 melalui perlawanan dan penajaan yang akan diberikan kepada National Press Club Malaysia.

Lihat Komen