malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
FAM: Usah jual tiket kepada penyokong Indonesia
ADS

Penyokong bola sepak tempatan dinasihatkan tidak menjual tiket yang mereka beli kepada penyokong Indonesia apabila Harimau Malaya berentap di Stadium Nasional pada 19 Nov ini.

Nasihat itu diberikan FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlakunya masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran masuk penyokong sempena aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mendakwa 5,000 penyokong Thailand menyaksikan perlawanan kelayakan antara Malaysia dan Thailand di venue yang sama pada Khamis lepas, walaupun FAM hanya memperuntukkan 2,500 tiket kepada penyokong pasukan pelawat.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir peminat bola sepak Malaysia yang 'membantu' penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah (Malaysia) untuk masuk ke stadium, sekali gus menyukarkan pihak keselamatan menempatkan penyokong pelawat di tempat sepatutnya.

“Justeru, bagi mengelak perkara sama berulang pada perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, FAM dan PDRM sekali lagi menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong Malaysia ini kepada penyokong pelawat,” tegas Stuart menerusi hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

Beliau percaya masalah sama tidak akan berulang sekiranya semua pihak memberi kerjasama.

Stuart memaklumkan FAM memperuntukkan 4,500 tiket bagi penyokong pasukan pelawat sesuai dengan jumlah dimohon Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan pada Selasa ini.

Katanya menambah penjualan tiket berkenaan akan diuruskan sendiri oleh PSSI.

Beliau menjelaskan penyokong Harimau Malaya masih boleh membeli tiket perlawanan dalam talian di www.tickethotline.com.my, namun hanya untuk tempat duduk terbuka memandangkan tiket bagi tempat duduk utama (grandstand) dan premium telah habis dijual.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Sept lepas.

- Bernama

Lihat Komen