malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kafa berunding dengan Gomis selesaikan isu gaji
ADS

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sedang berunding dengan Margaro Gomis berhubung isu tunggakan gaji susulan tindakan saman dikemukakan bekas pemain import itu terhadap persatuan berkenaan di mahkamah kira-kira dua bulan lepas.

Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman, berkata isu tersebut perlu diselesaikan segera berikutan tuntutan saman daripada pemain kelahiran Perancis itu memberi kesan kepada permohonan lesen yang dikemukakan mereka untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) 2020.

"Gomis mengemukakan saman sebanyak RM540,000 atas kegagalan pihak pengurusan Kafa terdahulu membayar tunggakan gajinya.

"Kafa sedang berunding dengan pemain tengah itu untuk membayar sebahagian daripada jumlah tuntutan tersebut sebagai jalan penyelesaian bagi mematuhi kriteria pelesenan kelab FAM," katanya ketika dihubungi Bernama, di Kota Bharu hari ini.

Husin berkata, selain rundingan dengan pemain itu dan aspek pelesenan kelab, isu gaji pemain lain serta pihak pengurusan turut menjadi agenda pada mesyuarat Kafa semalam.

"Kami membuat keputusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji (pemain dan pengurusan) selewat-lewatnya 28 Okt ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan sebahagian tunggakan pembayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang menjadi antara sebab pelesenan kelab mungkin digantung.

- Bernama

Lihat Komen