malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Nasihat mufti kepada Arsenal - 'Main seperti Liverpool'
Diterbitkan:  Oct 4, 2019 2:02 PM
Dikemaskini: 7:03 AM
ADS

"Mainlah seperti Liverpool," kata Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, apabila ditanya di Twitter jika dia ada sebarang nasihat terhadap pasukan Arsenal.

Pertanyaan itu dipercayai merujuk buat pasukan Arsenal yang bakal menghadapi perlawanan peringkat kumpulan Liga Europa pada awal pagi tadi.

Bagi mereka yang terlepas dan masih tidak tahu, pejabat mufti, semalam mengeluarkan satu artikel mengenai pengajaran yang boleh diambil dari keputusan perlawanan bola sepak.

Pengajaran tersebut ditulis berdasarkan keputusan perlawanan antara kelab  Liverpool dan Red Bull Salzburg dari Austria.

Artikel itu menyebut tiga perkara yang boleh dijadikan pengajaran adalah menerapkan semangat berpasukan, tidak terlalu leka dengan keadaan semasa dan tidak berputus asa.

Menurut penulisan itu, gol yang dihasilkan oleh pemain-pemain Liverpool kesemuanya hadir melalui kerja berpasukan dan persefahaman yang tinggi.

"Pengajarannya, jika kita ingin berjaya dalam hidup kita ini, kita perlukan pasukan 'sahabat' yang baik untuk saling melengkapi antara satu sama lain," tulis artikel tersebut.

Penulisan tersebut juga mengingatkan agar tidak berada terlalu selesa dengan apa yang dimiliki ketika berada dalam kesenangan kerana ia mungkin membahayakan.

Itulah yang berlaku kepada pasukan Liverpool apabila mereka dikejar dan diikat dengan keputusan 3-3 walaupun mendahului dengan tiga jaringan sebelum itu.

Artikel tersebut juga mengingatkan bahawa kegagalan bukanlah alasan untuk berputus asa.

"Pasukan Liverpool telah membuktikan, kegagalan mereka mempertahankan kelebihan gol akibat kelalaian mereka adalah bukan suatu alasan,".

Di saat mereka hampir kehilangan tiga mata berharga, keseluruhan pasukan mengembeling tenaga dan berjaya mendapatkan gol kemenangan walaupun sebelum itu melakukan kesilapan dengan melepaskan tiga gol kepada pasukan lawan.

Dalam perlawanan tersebut, Liverpool yang beraksi di laman sendiri hampir dikejutkan dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh Red Bull Salzburg.

Walaupun mendahului dengan dua jaringan sebelum menuju ke bilik persalinan, mereka akhirnya dihambat oleh pasukan dari Austria itu dan terikat dengan keputusan 3-3.

Dengan perlawanan berbaki 20 minit, bintang Mesir, Mohamed Salah muncul wira buat pasukan 'The Reds' apabila menjaringkan gol kemenangan di hadapan di Stadium Anfield.

Lihat Komen