malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Sukan ragbi tiup semangat juang murid Orang Asli
ADS

Jurulatih dan guru pendidikan jasmani Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lanjan Mohd Rusdi Tahir memerhatikan pemainnya, murid Orang Asli berlari mengelak lawan sambil memegang rapat bola ragbi di tangannya.

Pelajar berusia 12 tahun berjersi Harimau Lanjan itu yakin bergerak di atas padang dengan kerjasama anggota sepasukannya.

Mereka telah berlatih bersama hampir dua tahun dan akan meneruskan semangat juang para senior yang kini telah menyambung pelajaran ke sekolah menengah.

SK Bukit Lanjan yang menempatkan murid Orang Asli itu terletak di kawasan Damansara Perdana dan dikelilingi dengan bangunan pencakar langit.

Hari ini padang sekolah itu cukup meriah dengan kehadiran pasukan dari sekolah-sekolah Orang Asli lain dalam Kejohanan Ragbi Sekolah-Sekolah Orang Asli.

Ketika sekolah tersebut memperkenalkan sukan ragbi kepada murid Orang Asli pada 2015 tiada seorang pun di kalangan mereka yang pernah melihat bola ragbi. 

Malahan ibu bapa juga bimbang dengan sifat sukan itu yang agresif.

Bagaimanapun, guru seperti Rushdi (gambar, bawah) yakin dengan kebolehan para pelajarnya dan hari ini SK Bukit Lanjan berjaya merangkul beberapa kejuaraan dan sekolah itu juga mempunyai pemain yang mewakili negeri.

Kejohanan hari ini membuktikan cita-cita menjadikan sukan ragbi sebagai sukan utama Orang Asli membuahkan hasilnya.

Pada September tahun lalu, pihak sekolah ke Putrajaya dan bertemu Menteri Pendidikan Maszlee Malik bagi membincangkan sukan itu.

"Beliau (Maszlee) cadangkan kita buat satu pasukan Orang Asli. Dari situ kami balik, berbincang dengan pihak penaja, untuk buat klinik ragbi di sekolah Orang Asli.

"Hari ini, sekolah-sekolah lain yang tak pernah sentuh bola ragbi pun datang juga. Mereka tak pernah kenal ragbi. Kita latih daripada klinik itu," kata Rusdi.

Sekolah itu punya cara tersendiri menjadikan sukan rabgi hobi buat muridnya.

"Pihak sekolah bagi bola bawak balik rumah. Kalau rosak bawa balik, kita ganti bola baru. Dia orang pun pengaruh budak-budak kampung. Sampai sekarang masih buat macam itu.

"Sebab dia nak beli, tak ada duit. Jadi sekolah lah sokong. Kasut bola pun kita beli. Kemudahan semua kita bagi. Siapa tak ada kasut, kita sediakan. Jersi. Dana kita cari dari luar.

"Cikgu-cikgu berusaha. Yang paling banyak sokong adalah Dialog Group (dari syarikat minyak dan gas) dan Yayasan MyKasih," katanya.

Menurut Rusdi, ragbi berjaya mengubah sikap pelajar sejak sukan berkenaan diperkenalkan di sekolah itu oleh dirinya dan dua lagi guru Emir Din Baharudin dan Muhamad Fadhli Othman.

"Kita nak buka minda. Murid-murid kurang keyakinan diri. Bila bercampur dengan murid-murid lain dalam kejohanan sukan (di luar), keyakinan tak begitu baik.

"Tetapi cikgu berterusan bagi sokongan. Kalau kalah pun tak marah. Sekarang, boleh berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah lain.

"Meningkat keyakinan, lebih berani berhadapan dengan cabaran, lebih motivasi," jelasnya.

Kata Rusdi, kehadiran ke sekolah di kalangan pelajar telah menjadi lebih baik kerana setiap hari mereka mahu berlatih bersama rakan-rakannya.

"Masalah sekolah Orang Asli adalah kehadiran. Kehadiran menjadi KPI utama sekolah-sekolah Orang Asli.

"Jadi, dengan sukan, mereka datang sekolah. Jadi kami didik mereka, kalau nak main ragbi, datang sekolah," katanya lagi.

Sekolah itu juga sedang menyasarkan untuk menyertai Kejohanan Terbuka Bangkok pada Januari tahun depan.

"Tapi itu bergantung pada dana," jelasnya.

Yusry Ishak, guru dari SK Pos Bersih di Slim River, Perak pula berkata dia membawa pasukan sekolahnya untuk memberikan mereka pendedahan terhadap sukan itu.

"Kami hanya mempunyai kira-kira 140 pelajar. Pasukan kami termasuk murid dari tahun empat ke tahun enam.

"Saya melihat potensi pelajar saya. Orang Asli mempunyai stamina dan kecergasan yang baik.

"Ciri-ciri fizikal ini sudah ada dalam diri, mereka hanya perlu dibimbing terhadap sesuatu yang mereka boleh lakukan dengan baik," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen