malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kelantan mohon RM291j naik taraf kemudahan sukan
ADS

Kerajaan Kelantan memohon peruntukan sebanyak RM291 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata permohonan peruntukan itu sebagai persediaan jika negeri itu terpilih menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 nanti.

“Kami sudah usul permohonan sebanyak RM291 juta ini kepada KBS, iaitu termasuk peruntukan untuk membina stadium tertutup di negeri ini dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Titans Sportdays 2019 anjuran Unitar International University (Unitar) di Kompleks Sukan Sekolah-Sekolah Kota Bharu hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Teknologi ANS, Mohd Nasir Idris dan Pengurus Pusat Wilayah Unitar Kota Bharu, Ramlan Awang Omar.

Wan Roslan berkata daripada peruntukan yang dimohon, sebanyak 70 peratus akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan sukan sedia ada manakala 30 peratus lagi akan digunakan untuk membina infrastruktur baru.

“Kita bukan nak semua yang baru, sekarang stadium badminton sudah ada, Stadium Sultan Muhammad IV pun dah ada, cuma apabila adanya peruntukan ini nanti, kita akan baik pulih,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Roslan berkata pihaknya bersedia menerima nasihat dan garis panduan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenai Stadium Sultan Muhammad IV yang dikenal pasti tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF).

“Kalau ikutkan melalui pandangan kita, stadium itu sudah lengkap dan berkeadaan baik, namun kita bersedia untuk laksanakan apa yang perlu dilakukan untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan JBPM mengeluarkan kenyataan 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini apabila tidak mempunyai CCC atau dikenali sebagai CF.

Ketiadaan sijil terbabit di stadium berkenaan disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi.

Stadium yang dikenal pasti antaranya Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

- Bernama

Lihat Komen