malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Terengganu FC tetap positif harungi Piala Malaysia
Diterbitkan:  Sep 22, 2019 8:54 AM
Dikemaskini: 12:54 AM
ADS

Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, optimis pasukan itu masih berpeluang mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini walaupun kalah tipis 0-1 kepada JDT pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Nafuzi berkata walaupun menyedari misi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin pada 28 Sept ini jauh lebih sukar berbanding di laman sendiri, ia sama sekali tidak akan melunturkan semangat juang para pemain skuad Penyu.

"Saya tetap fikir positif. Walaupun tumpas 1-0 malam ini saya rasa permainan masih terbuka dan di sana nanti kita perlu lakukan serangan serta jaringkan gol tetapi pada masa yang sama perlu bertahan.

"Saya akui memang sukar untuk TFC menang di Larkin, tetapi dalam bola sepak mesti ada kepercayaan, kerja keras dan kalau ada rezeki terserahlah pada takdir," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Bertandang ke tempat lawan nanti, TFC perlu menang sekurang-kurangnya 2-1 ke atas JDT yang merupakan juara Liga Super enam kali berturut-turut untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu ketua jurulatih JDT Benjamin Mora berkata walaupun menang tipis beliau amat berpuas hati dengan kualiti permainan yang dipamerkan oleh anak buahnya.

Bagaimanapun beliau berkata cabaran tersebut masih belum tamat dan masih ada baki 90 minit perlawanan suku akhir kedua yang perlu diharungi skuad Harimau Selatan sebelum layak ke peringkat seterusnya.

“Buat masa ini saya amat berpuas hati dengan usaha pemain saya yang menjalankan tugas dengan hebat.

“Tetapi ini belum berakhir dan saya telah pun berfikir mengenai pusingan kedua. Kami tahu kami tidak boleh memberi ruang kepada TFC bergerak bebas jadi kami akan tingkatkan latihan dan ulangi semula permainan yang baik ini yang kami lakukan malam ini (malam tadi),” katanya.

- Bernama

Lihat Komen