malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Vincent Tan hantar Luqman Hakim beraksi di Eropah
Diterbitkan:  Sep 20, 2019 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM
ADS

Ahli perniagaan Malaysia, Vincent Tan pada hari ini mengumumkan beliau bakal menghantar pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk memulakan karier profesionalnya di Eropah.

Menurut Vincent, Luqman akan bermain bersama pasukan bola sepak miliknya di Belgium, KV Kortrijk pada tahun hadapan apabila mencapai usia 18 tahun pada Mac 2020.

Dia yang merupakan salah seorang pelatih di Akademi Mokhtar Dahari dan Badan Pembangunan Bola Sepak Negar (NFDP) juga merupakan pemain kebangsaan bawah 19 tahun.

Mengulas mengenai perpindahan itu, Vincent yang bertanggungjawab dalam merealisasikan impian pemain muda itu memberitahu Luqman dipilih kerana kualiti permainannya serta keupayaan menjaringkan gol ketika turun menentang pasukan lebih kuat.

“Adakalanya bila berada di luar negara, pemain akan mudah berasa sunyi, rindu rumah. Dia muda lagi.

“Yang mustahak sekali terpulang kepada kamu (Luqman). Kamu berjaya atau tidak terpulang kepada kamu.

“Saya rasa budak ini boleh berjaya,” katanya dalam sidang media acara tersebut.

Menteri Belia dan Sukan,Syed Saddiq Abdul Rahman yang turut hadir dalam majlis pengumuman itu pula memberitahu perkara tersebut menjadi kenyataan dengan bantuan yang disampaikan oleh Vincent.

Luqman yang kini berusia 17 tahun bagaimanapun akan berlatih terlebih dahulu bersama satu lagi pasukan milik Vincent iaitu Cardiff City di England bermula awal tahun hadapan.

Hal ini adalah kerana peraturan FIFA yang tidak membenarkan kelab menandatangani pemain di bawah umur 18 tahun.

Setelah mencapai usia 18 tahun pada Mac 2020, Luqman akan menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pasukan yang beraksi di liga profesional Belgium itu.

Sementara itu, Luqman ketika mengulas tentang pemilihannya, berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk membanggakan rakyat Malaysia.

“Saya berharap rakyat Malaysia doa yang terbaik, terutama doa dari kedua ibu bapa saya. Saya berjanji akan buat yang terbaik kerana ini memang cita-cita saya nak bermain di luar negara. Ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan rakyat Malaysia.

Sepanjang penglibatannya dalam kejohanan peringkat usia sebelum ini dia telah berjaya mencipta nama melalui beberapa kejohanan peringkat usia yang disertai serta menjaringkan gol-gol yang menarik.

Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Luqman mula mencuri tumpuan pada kejuaraan AFC Bawah 16 tahun pada 2018 apabila dia muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut.

Baru-baru ini, dia juga berjaya menunjukkan persembahan yang memberangsangkan bersama pasukan negara dalam kejohanan AFC Bawah 18 tahun apabila skuad negara berjaya menjadi naib johan dalam pertandingan tersebut.

Perpindahan itu akan menjadikan Luqman sebagai pemain Malaysia pertama yang akan beraksi di Belgium dan menjadikan dia sebagai pemain keempat dari Asia Tenggara yang berkelana di sana.

Sebelum Luqman, tiga pemain yang pernah beraksi di sana adalah Kawin Thamsatchanan, penjaga gol pasukan kebangsaan Thailand, penyerang Vietnam, Nguyen Cong Phuong yang kini beraksi bersama pasukan Sint Truidense VV dan juga pemain Indonesia, Firza Andika yang beraksi bersama AFC Tubize.

Pasukan KV Kortrijk kini berada di kedudukan ke 11 di Pro League, divisyen tertinggi di Belgium dan telah dibeli oleh ahli perniagaan dari Malaysia, Vincent Tan pada 2015.

Lihat Komen