malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Antonio German dakwa tinggalkan S'gor kerana dicemuh 'terlalu gelap'
Diterbitkan:  Sep 19, 2019 2:44 PM
Dikemaskini: 8:04 AM
ADS

Bekas penyerang import pasukan Selangor, Antonio German dalam temu bual bersama BBC pada minggu ini mendakwa dia terpaksa meninggalkan pasukan itu pada Januari lalu kerana menghadapi cemuhan berbaur perkauman daripada penyokong pasukannya sendiri.

Mendedahkan perkara tersebut, German berkata antara lain dia diberitahu oleh penyokong sebagai "terlalu gelap" untuk bermain bersama mereka (Selangor).

Dia juga mendakwa turut menerima mesej berbaur perkauman daripada sebilangan kecil penyokong di laman Instagram selepas perlawanan.

"Saya sangat terkejut apabila menyedari mesej tersebut berkait dengan isu warna kulit saya.

"Saya telah bermain di beberapa negara, tetapi tidak pernah melalui pengalaman seperti ini (isu perkauman)," katanya seperti dilapor media.

Tidak cukup dengan gangguan di laman maya, pemain yang berasal dari London itu juga mendedahkan dia diberitahu untuk meninggalkan pasukan itu "demi keselamatan dirinya sendiri" sejurus selepas melakukan penampilan ketiga bersama pasukan itu.

"I was thinking, 'why am I getting punished for the behaviour of some of the fans?' But I decided to leave."

"Saya terfikir, kenapa saya dihukum kerana sikap beberapa penyokong? Tapi saya putuskan untuk tinggalkan (Selangor)," katanya.

German yang kini berusia 27 tahun bagaimanapun mengakui perpindahan keluarnya dari pasukan itu sedikit sebanyak mengganggu prospeknya untuk bermain bersama pasukan baru.

"Bila pasukan-pasukan ini lihat saya meninggalkan Selangor, mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya kini berada di kemuncak prestasi dan sepatutnya bermain di setiap perlawanan," katanya.

German meninggalkan Gergasi Merah hanya selepas sebulan beraksi dan hanya sempat menjaringkan satu gol untuk pasukan itu.

Lihat Komen