malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas kekecohan berlangsung selama lebih dua bulan, seorang calon presiden bagi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hadir ke mahkamah untuk membatalkan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy, Jamaluddin untuk bertanding jawatan tertinggi itu.

Ini adalah sebahagian daripada langkah diambil Megat D Shahriman Zaharuddin dalam Saman Pemula (Ex-Parte) untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang MPM daripada mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 18 Sept.

Menurut undang-undang, ex-parte bermakna tindakan undang-undang yang difailkan oleh satu pihak dalam pertikaian tanpa kehadiran pihak lain.

Ex-parte itu difailkan oleh firma guaman Tetuan Kamil Hashim Raj & Lim di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Sept, lebih daripada dua bulan selepas MPM menangguhkan pemilihan untuk kali kedua pada 29 Jun.

MPM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 29 Jun.

Menurut satu salinan Saman Pemula yang dilihat oleh Malaysiakini, plaintif memohon deklarasi bahawa borang pencalonan yang dikemukakan oleh Khairy dan juga calon John Ng Kean Chuan, Nasharuddin Hashim, Siti Zaharah Abdul Khalid dan Dr S Radha Kishnan adalah batal dan tidak sah .

Ng merupakan penyandang timbalan presiden MPM, dengan Siti Zaharah menjadi Setiausaha Agung.

Khairy dari Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, Ng dari Persatuan Ping Pong Malaysia, Siti Zaharah dari Persatuan Boling Padang OKU Malaysia, Nasharuddin dari Persatuan Badminton Malaysia dan Radha dari Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia.

Megat berkata, borang dikemukakan melepasi tarikh 15 Jun sebagai tarikh akhir dan sepatutnya diserahkan sebelum jam 11.59 malam pada 14 Jun.

Plaintif berkata EGM yang dijadualkan pada 18 Sept tidak perlu diteruskan disebabkan isu yang tidak dapat diselesaikan mengenai pencalonan exco MPM.

"EGM tersebut pada 18 Sept 2019 yang bertujuan untuk membatalkan pencalonan sebelum ini yang sah tidak patut dijalankan oleh kerana isu percakaran ahli exco defendan tersebut belum lagi selesai.

"Isu pencalonan ahli exco defendan adalah berdasarkan lima Borang 2 (Delegasi dan Pencalonan) yang diserahkan lambat selepas tarikh terakhir iaitu sebelum 15 Jun, dan patut dibatalkan serta-merta daripada proses pencalonan ahli exco defendan yang terbaru,"kata Megat.

Plaintif juga menegaskan bahawa presiden defendan, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, tidak boleh mengadakan EGM pada 18 Sept kerana surat permintaan untuk mengadakan EGM tersebut belum lagi disahkan.

"Surat Permintaan EGM telah sepatutnya dibatalkan setelah hanya 11 orang ahli yang ingin menyokokong pemanggilan EGM itu.

"Berdasarkan Artikel 16.1 (b) Perlembagaan Defendan, permintaan oleh ahli defendan untuk EGM perlu sokongan separuh ahli, iaitu seramai 12 ahli defendan daripada jumlah keahlian 24 yang semasa," katanya.

Lihat Komen