malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kemarau kemenangan terus hantui Selangor dalam Piala Malaysia
ADS

Juara 33 kali, Selangor meneruskan kemarau kemenangan dalam saingan Piala Malaysia selepas sekadar seri 2-2 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor berkongsi enam mata dengan Melaka dalam carta Kumpulan D, namun Melaka kekal berada di tangga teratas menerusi perbezaan jaringan.

Pada aksi berkenaan, PDRM terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-28 menerusi Uche Agba yang berjaya memperdayakan pemain pertahanan Selangor sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kirinya.

Selangor kembali menyusun permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Taylor Regan. Gol hasil sepakan penjuru Sandro Da Silva yang ditanduk oleh Ifedayo Olusegun, sebelum bola berkenaan singgah ke kaki Reagan yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang PDRM.

Ifedayo meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-80 setelah memanfaatkan hantaran silang Muhammad Syahmi Safari, sebelum PDRM menyamakan kedudukan pada minit ke-87, menerusi percubaan solo Lee Chang-hoon, dan keputusan 2-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Selangor hanya mencatatkan satu kemenangan dalam kempen Piala Malaysia pada musim ini setelah mengatasi Melaka 1-0 pada aksi kedua Kumpulan D, di venue yang sama pada 8 Ogos lalu.


-- Bernama

Lihat Komen