malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Peng Soon-Liu Ying mara ke separuh akhir Terbuka Jakarta
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya menambah mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo apabila mengalahkan gandingan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina dalam perlawanan sengit suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan 21-11, 14-21, 21-14 dalam tempoh 60 minit ke atas lawan dari Indonesia itu.

Kemenangan itu juga menyaksikan Peng Soon-Liu Ying membalas dendam atas kekalahan mereka di tangan pasangan tuan rumah itu pada pusingan kedua All-England, Mac lalu.

Sebagai rekod, Tontowi yang berganding dengan Liliyana Natsir menewaskan Peng Soon-Liu Ying 21-14, 21-12 untuk emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, Liliyana, mengumumkan persaraannya pada Januari lalu dan Tontowi digandingkan dengan Winny selepas itu.

Peng Soon-Liu Ying, selaku pilihan kelima kejohanan, akan berdepan dengan pilihan kedua kejohanan, Wang Yi Lyu-Huang Dongping pada separuh akhir esok.

Pasangan China itu menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir dengan menyingkirkan satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-4, 21-15 pada aksi suku akhir.

-Bernama

Lihat Komen