malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tiada jalan mudah buat Harimau Malaya - Cheng Hoe
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM
ADS

Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui tiada jalan mudah buat skuad Harimau Malaya pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, bermula September ini.

Diundi bersama-sama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam, Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan G, Cheng Hoe menegaskan Malaysia sekurang-kurangnya perlu muncul antara empat pasukan naib juara terbaik untuk mara ke pusingan ketiga, sekali gus layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Cheng Hoe berkata persediaan rapi serta fokus yang tinggi daripada pemain adalah dua elemen yang berupaya merealisasikan impian tersebut.

“Kita tidak boleh hanya bercakap nak terus layak ke pusingan ketiga, dan menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua. Kita perlu faham jika mahu muncul naib juara, pasukan perlu dapatkan keputusan yang terbaik. Jadi kita kena buat persediaan terbaik dan fokus setiap perlawanan.

“Ia (kumpulan) bukan mudah...kemungkinan besar negara-negara itu turut gembira dengan keputusan undian ini. Kita tahu UAE pasukan terbaik serta terkuat dan bila bercakap pasal Piala Dunia, semua jurulatih ingin dapatkan setiap keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas tamat Majlis Undian Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, Cheng Hoe mengakui tidak menjangka keputusan undian tersebut dan menyifatkan perlawanan sulung Kumpulan G, berhadapan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 Sept depan adalah aksi yang mustahak.

“Memang satu kejutan kerana tidak jangka empat negara ASEAN berada dalam kumpulan sama. Ia seakan kejohanan mini Piala AFF, dan apa yang penting saya mahukan pemain bersedia menghadapi perlawanan pertama menentang Indonesia.

“Semua maklum bukan senang bermain di sana terutama di Stadium Gelora Bung Karno...mungkin sejarah dan situasi (provakasi penyokong tuan rumah) akan berulang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata skuad kebangsaan perlu menggunakan peluang keemasan ini untuk layak ke Piala Asia 2023, namun mengakui setiap pasukan mempunyai peluang seimbang.

“Saya rasa kita ada peluang...tuah undian memihak kepada kita dan sekarang hanya mengharapkan persembahan atas padang sahaja. Semua pasukan ingin menang dan peluang itu seimbang,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen