malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Diskaun tiket: Kelantan harap penyokong banjiri stadium
Diterbitkan:  Jul 16, 2019 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menagih kehadiran penyokong pada perlawanan terakhir Liga Premier menentang pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) di Stadium Sultan Muhammad lV di Kota Bharu, Sabtu ini selepas memberikan potongan harga tiket istimewa pada perlawanan terbabit.

Presidennya Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pemotongan harga tiket itu bagi meraikan peminat bola sepak Kelantan untuk datang beramai-ramai memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan negeri ini.

"Kami mengumumkan harga tiket pada perlawanan itu RM20 bagi tiket astaka (harga asal RM55) astaka terbuka RM10 (RM45), terbuka RM5 (RM12) dan bawah umur 12 tahun percuma (asal RM5).

"Ia merupakan satu langkah pihak kami untuk menarik penyokong memberikan sokongan kepada pasukan Kelantan dan seterusnya memperoleh mata," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Sepanjang musim ini, kehadiran penyokong pasukan ke stadium tidak begitu meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini berikutan kurang ‘selesa’ dengan prestasi pasukan Kelantan pada saingan liga terbabit.

Wan Abdul Rahim berkata, KAFA juga mengharapkan pemain menunjukan satu permainan yang berkualiti bagi memperoleh mata pada perlawanan itu.

"Gunakan peluang bermain di tempat sendiri untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong yang hadir ke stadium," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya dijangka mengadakan satu sidang media Khamis ini bagi menjelaskan beberapa isu yang melanda KAFA ketika ini antaranya berkaitan tunggakan gaji pemain dan jurulatih yang memberikan kesan kepada prestasi pasukan.

Selepas 19 perlawanan, Kelantan berada pada kedudukan kedua tercorot liga dengan memperoleh 13 mata, hasil daripada tiga kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.

- Bernama

Lihat Komen