malaysiakini logo
story-image
ADS

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu gambaran boleh diberikan susulan kemelut terbaru melanda Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang belum pun seminggu beralih kepemimpinan.

Episod lancar proses pemilihan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu pada Ahad lepas kini menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak yang mempertikaikan perjalanan majlis kerana dikatakan janggal.

Mereka juga dilaporkan kecewa terhadap bekas presiden KOM, Karim Ibrahim, yang didakwa tidak peka dengan keadaan itu.

Seperti tiada kesudahan, ada sahaja pihak tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan baru KOM sehingga mahu melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Keadaan itu dilihat seperti ada pihak tertentu sengaja mahu mensensasi dan mengelirukan pelbagai pihak.

Ketika ditanya mengenai situasi itu, Timbalan Presiden KOM Mumtaz Jaafar tampil dengan jawapan ringkas menyifatkan itu adalah "politik dalam sukan".

"Pada hari itu, apabila pembubaran berlaku semua anggota KOM hadir, kemudian undian pemilihan bagi pimpinan baru dijalankan, dan selepas itu pelantikan barisan kepimpinan baru diumum.

"Selepas pembubaran, Karim keluar dari bilik mesyuarat dan S M Muthu ambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat itu sehingga selesai.

"Ketika AGM berlangsung, tidak ada sebarang bantahan dibuat dan kami mengikut agenda pemilihan. Tetapi kini pelbagai masalah timbul. Ini semua politik dalam sukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam laporan sebuah akhbar, seorang pemerhati bebas sewaktu pemilihan KOM 2019-2022, Mohd Musa Noor Mohd tampil menyuarakan pandangannya, malah mempertikai perjalanan mesyuarat berkenaan pada Ahad lepas.

Bukan itu sahaja, beberapa perwakilan KOM yang hadir turut bersetuju dengan pandangan Mohd Musa sekali gus menguatkan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mumtaz menegaskan beliau enggan terlibat dalam kemelut politik dalam sukan, sebaliknya mahu menumpukan usaha mengangkat martabat sukan olahraga negara ke peringkat lebih tinggi.

Bekas ratu trek kebangsaan itu berkata tanggungjawab baru dipikulnya itu menjadi semakin berat berbanding sebelum ini, ketika menjawat jawatan naib presiden KOM, di samping masih memangku tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan yang ditinggalkan Zainal Abas.

"Ketika ini, saya mahu fokus kepada tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta mahu menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Pada AGM KOM Ahad lepas, Karim gagal mempertahankan jawatan presiden selepas hanya meraih 18 undi berbanding Muthu, 21 undi, manakala Mumtaz menang tanpa bertanding apabila satu-satunya pencabar, bekas Presiden KOM, Shahidan Kassim, mengumumkan menarik diri.

Empat kerusi naib presiden pula dimenangi Mark William Ling (34 undi), Rajemah Sheikh Ahmad (28), Fadzil Abu Bakar (20) dan Josephine Kang.

Undian untuk memilih naib presiden keempat terpaksa diadakan semula apabila Josephine dan Mohamad Awang masing-masing meraih 19 undi.

Josephine menang dengan 20 undi mengatasi Mohamad (19) pada undian semula.

- Bernama

Lihat Komen