malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tiada pengadil luar kendali final Piala FA kali ini
ADS

Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk menikmati perlawanan berintensiti tinggi pada perlawanan akhir Piala FA tahun ini dengan dengan mutu pengadilan berkualiti tidak kesampaian.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, hari ini mengesahkan khidmat pengadil tempatan akan digunakan bagi aksi di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil 27 Julai ini.

Menurut beliau, usaha untuk membawa pengadil profesional dari luar bagi mengadili perlawanan akhir itu merupakan antara agenda utama pihaknya meningkatkan kualiti perlawanan.

Namun katanya ia tidak dapat dilaksanakan bagi final Piala FA yang memasuki edisi ke-30.

“Saya ada bertanya kepada wakil FAM mengenai potensi membawa pengadil dari luar dan jawapannya, tiada.

"Usaha membawa pengadil profesional itu memang ada tetapi untuk Piala FA kali ini tidak dan perkara itu telah disahkan mereka (unit pengadil FAM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, pengadil tempatan J Suresh yang mengendalikan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC dan Perak dianggap peminat bola sepak tanah air sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan saingan berprestij itu.

Beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh termasuk membatalkan dua jaringan dan layangan dua kad merah pada perlawanan itu menyaksikan integritinya dipersoalkan.

Turut membidas pengadil berkenaan adalah Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim sambil menyuarakan pandangan, tepat pada masanya untuk MFL menggunakan khidmat pengadil luar negara mengendalikan perlawanan bola sepak berintensiti tinggi dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Tunku Ismail dipetik sebagai berkata keputusan untuk tidak menggunakan pengadil luar negara disebabkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh tidak bersetuju.

“Subkhiddin berkata ia seperti memperkecilkan pengadil tempatan. Itu bukan sebabnya. Ini adalah kerana kita perlukan bantuan, anda boleh membaca artikel MFL sebelum ini," kata Tunku Ismail.

- Bernama

Lihat Komen