malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Annuar Musa belum pertimbang tawaran terajui Kafa
ADS

Annuar Musa belum mempertimbangkan tawaran untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas dicalonkan baru-baru ini.

Kata Annuar, beliau kini begitu sibuk dengan urusan sidang Dewan Rakyat dan partinya.

“Saya belum fikir (tentang tawaran terajui Kafa) kerana saya sedang fikirkan soal parlimen dan saya ada banyak hal di parlimen nak difikirkan.

“Tugas saya sebagai wakil rakyat, setiausaha agung parti, jadi saya kena fikir semua. Dahulu saya bukan setiausaha agung parti malah saya mula dulu bukan wakil rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, kata Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh, jawatan tersebut tidak perlu direbutkan sekiranya sudah ada pihak yang berminat.

“Kalau ada yang betul-betul berminat buat apa nak rebut-rebut? Kalau ramai yang berminat eloklah kita beri peluang,” katanya.

Tambah Annuar, prestasi pasukan bola sepak Kelantan ketika ini amat mendukacitakan apabila berada di kedudukan terakhir Liga Perdana.

Katanya, ia jauh berbeza ketika beliau menguruskan pasukan tersebut iaitu daripada divisyen tiga kepada Liga Super.

“Kalau dia tak perbaiki keadaan kena turun ke liga yang lebih rendah lagi iaitu divisyen tiga. Sekarang pasukan bola sepak Kelantan balik semula seperti 15 tahun dahulu. Jadi, sangat mengecewakan,” katanya.

Bekas presiden Kafa itu sebelum ini antara empat yang dicalonkan untuk menerajui Kafa dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan itu 6 Julai ini selepas tamat masa untuk penyerahan borang pencalonan pada pukul 12 tengah hari, semalam.

Tiga lagi individu yang mendapat pencalonan ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Amril Aiman Abdul Aziz.

Jawatan timbalan presiden pula bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara penyandangnya Affandi Hamzah, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rosmadi Ismail, ahli perniagaan Mohd Zumridi Tambi dan bekas ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh, Mohammad Yusri Ismail.

Bagi tiga kerusi naib presiden pula bakal menyaksikan pertembungan sembilan penjuru di antara Ahmad Muzakir Hamid, Rowi Dollah, Shaari Mat Hussain, Effendy Yahya, Hassan Hasbullah, Azman Ibrahim, Muhammad Affiq Kamaruzaman, Profesor Dr Zaliman Sauli dan Wan Rekemi Wan Zahari.

Seramai 29 orang telah dicalonkan untuk merebut 10 tempat sebagai Exco Kafa.

Lihat Komen