malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Bonus berganda jika Perak mara final Piala FA
Diterbitkan:  Jun 28, 2019 11:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

Pasukan bola sepak Perak dijanjikan bonus berganda sekiranya berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan menundukkan Pahang esok serta membawa pulang piala kejohanan.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata insentif itu sebagai pemberi semangat kepada skuad 'The Bos Gaurus' dalam usaha mendapatkan sekurang-kurangnya dua jaringan tanpa bolos pada malam esok bagi melayakkan mereka mara ke peringkat akhir.

"Saya telah memaklumkan kepada pemain bahawa saya akan memberi sejumlah bonus kepada pemain dan pegawai sekiranya berjaya memasuki perlawanan akhir dan akan memberi satu lagi bonus sekiranya membawa pulang piala," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau latihan skuad Perak di Stadium Perak di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal dalam pada itu turut mengingatkan para pemain supaya memfokuskan sasaran membawa pulang piala dan bukannya bonus semata-mata kerana walaupun jumlahnya belum ditetapkan, namun memberi jaminan ia pasti menggembirakan pasukan.

"Saya percaya Perak akan memberi tentangan hebat dalam aksi timbal balik ini walaupun Pahang datang dengan penuh semangat apabila mempunyai bekalan dua gol sebelum ini.

Sementara itu, Kapten Perak Shahrul Mohd Saad berkata mereka akan memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha mara ke perlawanan akhir termasuk menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol atau lebih.

"Saya yakin semua rakan sepasukan akan membuktikan mereka boleh bersaing dengan pasukan lawan esok," katanya.

Bagi penjaga gol, Perak Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula berikrar ingin menebus kesilapan yang dilakukannya sebelum ini sekiranya diberi peluang beraksi pada malam esok.

Dalam pada itu, pengendali pasukan bola sepak Perak Mehmed Durakovic berkata beliau percaya semangat pemain akan melonjak apabila bermain di laman sendiri esok walaupun tanpa beberapa pemain utama.

"Beberapa pemain tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan dan juga digantung perlawanan iaitu Amirul Azahan, Nazirul Naim Che Hashim dan Ronaldo Henrique," katanya.

Pada perlawanan separuh akhir pertama, Ahad lalu, Perak yang bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan tewas 1-3 ke atas Pahang sekali gus memberi kelebihan agregrat dua gol kepada skuad Tok Gajah di Ipoh.

- Bernama

Lihat Komen