malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Megat dakwa KJ tanding cara kotor
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 11:04 PM
Dikemaskini: 3:04 PM
ADS

Calon presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin telah mengemukakan notis semakan semula terhadap kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) untuk bertanding jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Sabtu ini.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA itu berkata notis telah dihantar ke Pesuruhjaya Sukan bersama bukti pembabitan Majlis Sukan Negara (MSN) yang didakwa terlibat dalam isu pemilihan jawatan nombor satu badan induk itu.

“Kami sudah menghantar notis tersebut kepada Pesuruhjaya Sukan hari ini dan perkara ini akan selesai dalam tempoh 72 jam, mungkin esok kita sudah boleh tahu keputusannya.

“Saya tidak kisah untuk bertanding dengan sesiapa tetapi bukan masuk bertanding dengan cara kotor seperti ini,” katanya kepada media di pejabat MASCA, di Bukit Kiara, hari ini.

Beliau mendakwa memiliki bukti kukuh tentang pembabitan pengurusan tertinggi MSN mengarahkan ahli gabungan MPM memilih KJ pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.

Selain itu, memiliki rakaman percakapan telefon serta pesanan Whatsapp berkaitan pemilihan MPM yang akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan serta Kementerian Belia dan Sukan untuk disemak, katanya.

Kemelut pemilihan MPM tercetus selepas KJ didakwa menghantar borang pencalonan pada jam 11.30 malam 15 Jun, sedangkan jelas tertera tarikh akhir penyerahan borang sebelum 15 Jun 2019, bermakna waktu terakhir adalah pada jam 11.59 malam, 14 Jun.

Semalam, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam kenyataan, menyangkal dakwaan bahawa beliau menjadi dalang meluluskan borang pencalonan KJ bagi jawatan presiden dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

- Bernama

Lihat Komen