malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Khairy tandingi jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia
ADS

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah akan bertanding merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada mesyuarat agung tahunan badan induk itu pada 29 Jun ini.

Khairy - yang menawarkan diri pada saat akhir - akan mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Megat D Shahriman Zaharudin yang terlebih dahulu mengemukakan pencalonan.

Jawatan itu kosong berikutan penyandangnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.

Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid, ketika dihubungi, mengesahkan MPM menerima dua borang pencalonan untuk jawatan presiden sehingga tarikh tutupnya, semalam.

“Untuk jawatan lain, kami sedang teliti dan ia akan diumumkan oleh timbalan presiden John Ng, esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jumaat lalu, Megat Shahriman menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden MPM, sedangkan Khairy menghantar borang pencalonan kira-kira 30 minit sebelum tarikh tutup pencalonan, semalam.

Pencalonan Khairy sebelum ini menimbulkan persoalan kerana mengenai statusnya tidak jelas sama ada menjadi anggota mana-mana persatuan sukan yang menganggotai MPM atau tidak.

Hal itu kerana perlembagaan MPM menyatakan setiap calon bertanding perlulah menjadi anggota persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah MPM.

Namun, pencalonan Khairy diterima selepas beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia yang telah dilantik pada AGM persatuan itu pada awal tahun ini.

- Bernama

Lihat Komen