malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kanoute ajak berbuka puasa di Stadium Wembley
Diterbitkan:  May 27, 2019 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM
ADS

Buat julung kalinya, Stadium Wembley di London akan menjadi lokasi majlis berbuka puasa bersama masyarakat bukan Islam pada 29 Mei ini.

Mengumumkan rancangan itu, pemain bola sepak terkenal dan bekas Pemain Terbaik Afrika, Frederic Kanoute, berkata orang ramai boleh datang menyertainya secara bersendirian atau dengan keluarga.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah, pada 29 Mei, program iftar terbuka akan diadakan di Stadium Wembley.

"Datanglah bersama keluarga, rakan-rakan, mahupun bersendirian untuk menyertai acara tersebut,” katanya melalui pesanan video yang dimuat naik di media sosial.

Majlis berbuka puasa itu adalah sebahagian daripada program Ramadan Tent Project yang dibuat untuk menyebarkan pemahaman tentang puasa, Islam dan Ramadan kepada penduduk bukan Islam.

Program tersebut memasuki tahun keenam sejak ia dianjurkan pada tahun 2013.

Setiap tahun, masyarakat pelbagai bangsa dan agama dijemput untuk berbuka bersama-sama di lokasi yang terpilih.

Sebelum ini Dataran Tavistock di Bloomsbury pernah dijadikan lokasi majlis sama.

Menggunakan tanda pagar #MakingHistory, program tersebut biasanya memilih mercu tanda terkenal di London sebagai lokasi program.


Baca Ikhtiar Kanoute untuk masjid pertama Seville sejak 700 tahun


Selain iftar terbuka, pengunjung juga akan dihidangkan dengan ceramah yang disampaikan oleh tokoh jemputan.

Dalam kalangan peminat bola sepak, Stadium Wembley adalah tempat yang signifikan kerana ia pernah menjadi tempat banyak acara bersejarah.

Selain menjadi gelanggang buat pasukan bola sepak kebangsaan England, stadium tersebut juga pernah menjadi tempat penganjuran Sukan Olimpik 1948 serta menyaksikan England menjulang Piala Dunia pada 1966.

Dalam perlawanan akhir di stadium berkenaan England menundukkan Jerman Barat 4-2.

Lihat Komen