malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Ikhtiar Kanoute untuk masjid pertama Seville sejak 700 tahun
Diterbitkan:  May 26, 2019 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM
ADS

Walaupun berdepan risiko tidak disenangi atau dikecam, dia pernah bertegas enggan mengenakan jersi sama seperti anggota skuadnya yang lain semasa di atas padang.

Alasan pemain Mali kelahiran Perancis itu, dia enggan mempromosikan laman sesawang perjudian yang menjadi penaja pasukan mereka.

Namun ia tidak menyulitkan Frederic Kanoute. Kerana tahu - dan sangat memerlukan - kemahirannya, skuad Seville menyediakan jersi yang lain untuk dipakainya semasa beraksi dengan skuad Sepanyol itu.

Agak lama tidak kedengaran nama Kanoute - sehinggalah baru-baru ini apabila sebuah masjid yang terletak di bandar Seville berdepan masalah.

Ruang masjid itu semakin terbatas ekoran pertambahan penganut Islam di Seville.

Kini Kanoute, 41, secara diam-diam menghulurkan bantuan.

Selepas sebidang tanah dikenal pasti, Kanoute menggerakkan kempen memungut sumbangan bagi membina bangunan baru masjid setinggi tiga tingkat, lengkap dengan kawasan parkir bawah tanah.

Cari masjid dulu

Untuk menjayakan usaha berkenaan penyerang yang turut pernah bermain untuk Tottenham Hotspur dan West Ham United itu menyasarkan sumbangan sebanyak £250,000 (RM317,861) melalui kempen Kanoute 4 Seville Mosque.

Jika menjadi kenyataan nanti, bangunan itu akan melakar sejarah tersendiri di bandar selatan Sepanyol itu.

Kali terakhir sebuah bangunan yang memang dibina untuk dijadikan masjid di Seville ialah kira-kira 700 tahun lalu.

Untuk rekod Seville memang mempunyai kaitan sejarah yang tebal dengan Islam. Ia adalah ibu negeri - dan bandar terbesar - untuk wilayah Andalusia.

Seville juga bandar raya keempat terbesar di Sepanyol selepas Madrid, Barcelona, dan Valencia.

Untuk menjayakan matlamat pembinaan masjid baru itu Kanoute dibantu dua warga Sepanyol, Ibrahim Hernandez dan Luqman Nieto.

Ditanya mengenai kesungguhannya itu Kanoute berkata selama tujuh tahun bermain untuk kelab Seville itu - dan menjadikan Stadium Ramon Sanchez Pizjuan sebagai 'kampung' - membuatkan penduduk dan bandar raya berkenaan sangat dekat di hatinya.

"Sebagai seorang Muslim, apabila kamu tiba di sebuah bandar baru, perkata pertama yang kamu cari ialah tempat untuk bersembahyang," katanya yang mula mengamalkan Islam sejak berusia 22 tahun. 

Mengenang kembali kedatangannya ke Seville hampir 15 tahun lalu Kanoute berkata, dia menemui sebuah bangunan yang dijadikan masjid sementara.

Dan sehingga kini, katanya, bangunan itu masih ada bersama , komuniti setempat yang menyenangkannya, termasuk generasi kedua warga Sepanyol dan Eropah yang memeluk Islam.

Bangunan itu pun satu masa dulu pernah mendapat bantuan daripada Kanoute.

Pada 2007 pemilik bangunan yang dijadikan masjid itu bercadang untuk menjualnya. Jika ia terlaksana, bermakna komuniti Muslim yang bergantung kepada bangunan itu akan 'terusir' sekurang-kurangnya sehingga mereka mendapat 'masjid' baru.

Kanoute lantas berikhtiar untuk menghalang bangunan tersebut terjual dan masjid mereka terlepas ke tangan orang lain. Menariknya, usaha tersebut dijalankan Kanoute secara senyap-senyap kerana dia enggan mendapat publisiti.

Menurut laporan media, Kanoute sendiri bersungguh-sungguh enggan dikenali sebagai penggerak utama kempen berkenaan.

Bagaimanapun rahsia tersebut hanya bertahan seketika sebelum ia dihidu oleh pihak media.

Anak pasangan wanita Perancis dan lelaki Mali itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.9 juta untuk memastikan bangunan tersebut kekal dijadikan masjid.

Sebagai pemain bola sepak, Kanoute pernah menjulang Piala Uefa sebanyak dua kali, selain trofi peringkat Sepanyol.

Dia juga pernah terpilih sebagai Pemain Terbaik Afrika pada 2007.

Bersama Seville, Kanoute membuat penampilan sebanyak 209 kali dan menjaringkan 89 gol.

Kini, kelihatan dia mahu membalas jasa kepada bandar itu serta masyarakatnya. Dia turut dibantu tiga lagi pemain bola sepak, iaitu Abdoulaye Doucoure (pemain tengah Watford), Benjamin Mendy (pertahanan Manchester City) serta bekas pemain Arsenal, Abou Diaby.

Lihat Komen