malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
PRANS rayu kerajaan naik taraf, baik pulih Pusat Akuatik Negeri Sembilan
ADS

Persatuan Amatur Negeri Sembilan (PRANS) meminta kerajaan negeri menaikkan taraf dan membaik-pulih Pusat Akuatik Negeri (PAN), Paroi di Seremban memandangkan segala alatan dan kemudahan renang di situ didapati sudah lama dan usang.

Presiden PRANS Zainal Othman berkata alatan dan kemudahan renang di PAN terutama papan skor elektronik dan pad sentuh perlu ditukar baharu kerana sudah tidak berfungsi.

"Semua alatan dan kemudahan renang di PAN ini telah mula digunakan sejak Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2004 dan tidak pernah diganti. Bermakna sudah 15 tahun alatan dan kemudahan ini digunakan dan sudah sampai masanya ia ditukar baharu.

"Kalau dahulu Negeri Sembilan banyak menganjurkan kejohanan renang, namun kini tidak lagi. Malah, PAN pernah dijadikan latihan pusat oleh beberapa negara seperti Indonesia, Singapura, Uzbekistan, Finland, New Zealand dan Sri Lanka.

Alatan dan kemudahan renang ini perlu diganti baharu demi keselamatan dan keselesaan perenang dan penerjun di PAN," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zainal dipilih sebulat suara menerajui semula PRANS pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu pada 27 April lepas. Beliau dilantik sebagai Presiden PRANS sejak 1996 dan melepaskan jawatan itu pada 2016.

Mengulas lanjut, Zainal berkata beliau mahu mengembalikan semula kegemilangan sukan renang di negeri ini apabila dipilih semula sebagai Presiden PRANS baru-baru ini.

"PRANS satu ketika dahulu begitu gah melahirkan ramai perenang berwibawa seperti bekas perenang kebangsaan dan Olimpik Siow Yi Ting dan saya akan cuba memeriahkan kembali sukan renang di negeri ini. Selain perenang, Negeri Sembilan turut melahirkan ramai penerjun dan pasukan renang berirama berwibawa serta pasukan polo air yang disegani.

"Perenang kita pada ketika itu dilatih oleh tiga orang jurulatih China. Saya mempunyai banyak perancangan demi masa depan sukan renang negeri ini dan untuk merealisasikan impian itu, saya perlukan sokongan semua pihak," katanya.

Sementara itu, beliau juga menggesa kerajaan negeri agar segera melantik Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) yang baharu demi hala tuju, perancangan dan pembangunan sukan negeri ini.

“Tanpa Pengarah MSN, kita ibarat kehilangan 'nakhoda' untuk mengemudikan kapal menuju lautan luas. Apa yang saya bimbang ialah persiapan terdekat negeri ini menghadapi Sukma Johor 2020 akan gagal tanpa Pengarah MSN," katanya.


-- Bernama

Lihat Komen