malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Guardiola: Kami akan kembali dengan lebih kuat musim depan
Diterbitkan:  May 13, 2019 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM
ADS

Tamat sudah persaingan penuh dramatik Liga Perdana Inggeris musim 2018/2019 dengan kemenangan milik juara bertahan, Manchester City.

Liverpool pula di tangga kedua dengan kurang satu mata.

Musim ini ternyata istimewa apabila Manchester City dan Liverpool bersaing sehingga perlawanan terakhir, dengan kedua-duanya jauh meninggalkan pasukan lain dari segi mata. 

Malah jumlah mata dua pasukan itu - 195 - merupakan tertinggi pernah direkodkan.

Di permulaan liga, City berjaya menjarakkan kedudukan dengan Liverpool sebelum The Reds melakukan perkara sama.

Tetapi persaingan sebenar hanya bermula di separuh musim kedua. Dalam 19 perlawanan terakhir, City hanya mencatat satu kekalahan manakala Liverpool seri tiga kali.

Pengendali City, Pep Guardiola memberikan penghargaan kepada pesaingnya itu atas musim yang "paling sukar".

"Ini kejuaraan paling sukar memandangkan mutu skuad Liverpool dan persaingan antara kami di sepanjang musim.

"Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Liverpool dan terima kasih kerana mereka membantu kami untuk menaikkan standard... Mereka melalui musim yang hebat tetapi kami sedikit lebih baik," kata Guardiola seperti dipetik Guardian.

Begitu juga dengan jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp yang berkata: "Mereka menjalani musim yang hebat, begitu juga kami. Tetapi mereka yang menang, maka tahniah kepada Pep (Guardiola) dengan semua di Manchester City."

Dan kedua-duanya menyatakan azam untuk kembali lebih kuat pada musim akan datang.

"Liverpool akan mengekalkan tahap mereka dan (kelab) lain akan bertambah baik. Manchester United perlu kembali, Chelsea di bawah Maurizio Sarri akan bertambah baik. Tottenham masuk ke final Liga Juara-juara dan Arsenal juga akan bertambah baik.

"Kami menerima cabaran ini dan pada musim depan, kami akan kembali dengan lebih kuat. Saya janji," katanya.

Jurgen Klopp

Klopp pula menyifatkan cabaran yang diberi kepada Manchester City pada musim ini sebagai "percubaan pertama".

"Kami menggunakan asas tahun lalu, tetapi membuat langkah yang besar. Sukar dipercayai.

"Dan ia tidak terhenti di sini, pasukan ini belum selesai. Pasukan ini cuba kali pertama (untuk menang liga) dan saya fikir mereka lakukannya dengan amat hebat.

"Kita akan cuba lagi, seratus peratus. Tetapi berikan saya beberapa jam untuk berdepan dengan apa yang terjadi hari ini (semalam)," katanya.

Musim 2018/2019 belum tamat buat kedua-dua pasukan. Manchester City berdepan Watford untuk perlawanan akhir Piala FA pada 19 Mei ini, manakala Liverpool bersemuka dengan Tottenham Hotspurs bagi perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah pada 2 Jun ini.

Lihat Komen