malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Jaguh dunia bina badan terima rumah percuma
ADS

Atlet bina badan negara, Syarul Mike Magandran mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas membantu menerima rumah mampu milik secara percuma sebagai satu pengiktirafan kejayaan beliau memenangi kejuaraan dunia sebanyak tiga kali berturut-turut.

Atlet bina badan berusia 46, yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut terharu selepas Khalid dan Syed Saddiq menunaikan janjinya untuk membantu beliau yang kini menumpang di rumah kawan.

"Saya mengucapkan terima kasih Syed Saddiq dan Khalid Samad. Selama ini tiada siapa datang membantu saya walaupun saya minta banyak bantuan daripada kerajaan sebelum ini. Tetapi, apabila saya membawa isu ini kepada menteri belia dan sukan dan dengan bantuan menteri Wilayah Persekutuan, mereka membantu saya sehingga mendapatkan sebuah rumah secara percuma," katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, pengiktirafan kepadanya akan membangkit semangat beliau dan atlet-atlet lain untuk membuat yang terbaik kepada negara.

Terdahulu, Khalid Samad mengesahkan Kementerian Wilayah Persekutuan menunaikan janji kepada atlet bina badan tersebut untuk mendapatkan rumah kepadanya.

"Saya berterima kasih kepada syarikat Aset Kayamas yang sedia memberi rumah berharga RM244,000 termasuk kos pengubahsuaian dan berkelengkapan penuh di Residensi Jalilmas, Bukit Jalil secara percuma tanpa sebarang balasan.

"Sumbangan ini merupakan di bawah program CSR untuk komuniti Kuala Lumpur. Kita harap pada masa akan datang kementerian akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dalam usaha mengiktiraf lebih banyak atlet seperti Syarul yang mengharumkan nama negara di persada dunia," katanya.

Khalid juga memberitahu bahawa Syarul boleh berpindah ke rumah baru pada 18 April ini. 

Lihat Komen