malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Beregu lelaki negara mara ke suku akhir China Masters 2019
ADS

Pasangan beregu lelaki profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen meneruskan rentak cemerlang mereka apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton China Masters 2019 di Hainan, hari ini.

Gandingan pilihan keempat itu hanya mengambil masa 33 minit untuk mengatasi pasangan Taiwan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse; 21-14, 21-17 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Agile Stadium of Lingshui Culture and Sports Square, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Dalam pada itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan Kim Sa Rang dari Korea Selatan, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Liu Wei Chen-Lu Chen dari Taiwan; 21-19, 21-19.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin turut cemerlang menempah slot ke kelompok lapan pemain terbaik selepas mengejutkan pilihan utama, Ihsan Maulana Mustofa dari Indonesia; 14-21, 21-13 dan 21-9 dalam aksi pusingan ketiga.

Sementara itu, beberapa pemain Malaysia tersingkir daripada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$75,000 (RM306,826) itu, selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang juga pilihan utama, tewas mengejut 12-21, 16-21 kepada pasangan muda China, Dong Weijie-Chen Xiaofei, manakala Choong Hon Jian-Man Wei Chong tumpas kepada pilihan kelima, Di Zijian-Wang Chang dari China; 14-21, 17-21 dalam acara beregu lelaki.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan Jelajah BWF berstatus Super 100 itu.

- Bernama

Lihat Komen