malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Zaiton Othman bersara sebagai pesuruhjaya sukan
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM
ADS

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan Datuk Zaiton Othman menamatkan khidmat sebagai pesuruhjaya sukan hari ini selepas memegang jawatan itu bermula 1 Feb 2015.

Syed Saddiq berkata Zaiton yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan, banyak berjasa dalam arena sukan tanah air ketika bergelar atlet dan juga penjawat awam terutamanya membantu melancarkan pentadbiran sukan untuk kementerian.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Zaiton di atas perkhidmatan beliau sebab hari ini adalah tarikh terakhir beliau berkhidmat dan akan bersara. Beliau melakukan kerja-kerja luar biasa untuk kementerian.

“Selepas ini kementerian perlu mencari pengganti mungkin bekas atlet juga untuk mengendalikan jawatan Pesuruhjaya Sukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman venue Piala Dunia FIT Touch kesembilan di Taman Ekuestrian Putrajaya, hari ini.

Zaiton yang akan berusia 60 tahun pada 3 Mei depan, dan berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah jagoan dalam acara heptathlon serta 400 meter pada era kegemilangannya.

Selain itu, bekas atlet negara itu yang pernah diberi jolokan 'wanita besi' adalah pemegang rekod kebangsaan acara heptathlon ketika beraksi pada Sukan SEA Manila 1981.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 1982 dan memenangi tiga pingat emas serta mencipta rekod terbaik Asia dalam acara lari berganti-ganti 4x400m.

Zaiton memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Pertanian Malaysia dan Ijazah Sarjana Psikologi Sukan Gunaan dari San Diego State University, California.

Beliau memulakan perkhidmatan di Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai pegawai sukan pada September 1989 dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) dari 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN.

- Bernama

Lihat Komen