malaysiakini logo
story-image
ADS

Dua tahun lalu, nama Mohd Faiz Subri meniti dibibir rakyat Malaysia apabila memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016 berkat jaringan magisnya.

Namun pemain asal Kedah itu kini tidak bermain untuk mana-mana pasukan untuk musim ini.

Namun bapa kepada tiga anak itu menyifatkan laporan bahawa dia tiada pasukan untuk meneruskan karier dalam kancah Liga Malaysia 2019 sebagai kurang tepat.

Sebaliknya dia berkata membuat keputusan untuk menggantung butnya untuk smentara waktu bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

"Buat masa ini saya mahu beri perhatian kepada keluarga, sebab isteri pun baru bersalin hari ini.

"Bukan tak ada pasukan, tapi saya minta tangguh sementara buat masa ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penyerang berusia 31 tahun itu tidak dilamar mana-mana pasukan selepas menamatkan kontrak bersama pasukan Pulau Pinang, tahun lalu.

Laporan itu juga menyatakan Faiz menolak untuk menghadiri ujian pemilihan skuad Harimau Kumbang itu, sebaliknya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan di kampung halamannya.

Faiz enggan mengulas lanjut tentang perancangannya berkaitan kerjaya bola sepaknya.

Dia sebaliknya hanya berkata akan sedia untuk kembali beraksi bersama sebuah pasukan tetapi enggan mendedahkan nama pasukan itu.

Pada Januari 2017, Faiz mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah Puskas - untuk jaringan tercantik - menewaskan pemain antarabangsa yang lain.

Ia susulan jaringan 'knuckleball' olehnya ketika perlawanan menentang Pahang pada musim 2016.

Lihat Komen