malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tahfiz di Pahang galak pelajar ceburi sukan golf
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM
ADS

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Kuantan menampilkan kelainan berbanding pusat tahfiz lain apabila institusi berkenaan tidak hanya memberi tumpuan kepada proses menghafal al-Quran dan akademik tetapi juga bidang sukan termasuk golf.

Segalanya bermula hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Pemangku Raja Pahang yang mahu melihat pelajar institusi tersebut seimbang dari segi emosi, intelektual, spiritual dan jasmani.

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dr Zulkifle Ali berkata sukan golf telah diperkenalkan kepada para pelajar sejak tahun lalu dan pihaknya mengambil inisiatif menyediakan kemudahan lapangan sasar dan padang golf mini bagi memudahkan mereka menjalani latihan.

"Sultan Abdullah mencadangkan kemudahan itu disediakan di sekitar bangunan MTNP di Tanjung Lumpur bagi memudahkan pelajar berlatih tanpa perlu ke padang golf di luar yang mengambil masa untuk ke sana.

"Kita menyediakan kemudahan ini di tapak seluas 2.4 hektar dalam kawasan MTNP dengan kos RM190,000...buat masa ini ia memiliki tiga lubang dan akan ditambah dua lagi dalam waktu terdekat. Setakat ini seramai 20 orang pelajar mengikuti latihan golf di bawah kendalian lapan jurulatih berpengalaman yang biasanya bermula selepas solat Asar dan berakhir 30 minit sebelum Maghrib," katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan hari ini.

Dr Zulkiflie berkata sukan golf merupakan sukan kedua berimpak tinggi disediakan di MTNP selepas ekuestrian yang mana institusi pendidikan itu berjaya melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Pemain golf terhebat di kalangan huffaz

"Kita yakin dakwah itu bukan sekadar menyampaikan ilmu agama di masjid atau surau bahkan boleh dilakukan ketika bersukan...sebab itu kita mahu melahirkan pemain golf terhebat dalam kalangan huffaz. Selain itu sukan golf ini dilihat berupaya membentuk keperibadian dan nilai murni yang baik buat pelajar seperti fokus, menguasai kemahiran, disiplin, jujur dan menjaga penampilan,” katanya.

Beliau berkata apabila diaplikasikan dalam pembelajaran seharian, secara tidak langsung ia mampu mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat sebagaimana diimpikan Sultan Abdullah.

Seorang pelajar MTNP Nur Izzatul Husna Mohd Sazeri,17, berkata pada mulanya masyarakat sekeliling berasa janggal apabila melihat dia mengenakan tudung labuh semasa bermain golf.

"Ia tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi insan yang memahami isi kandungan al-Quran dan pada masa sama menjadi jaguh dalam sukan seperti golf. Saya mula bermain golf sejak tingkatan dua dan ia sedikit sebanyak membantu dalam pembelajaran seharian,” katanya yang sudah khatam menghafal al-Quran pada 28 November 2017.

Nadhil Alias, 15, pula berkata dia memilih sukan golf kerana ia agak santai dan memberi ketenangan kepadanya selepas proses pembelajaran di bilik darjah. 

"Sukan golf ini tidak menggangu fokus kami untuk menjadi huffaz malah membantu kerana memberikan kesihatan serta kecergasan untuk belajar,” katanya yang pernah menduduki tempat kelima dalam pertandingan golf pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2016.

- Bernama

Lihat Komen