malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Yashir Pinto awang import ketiga PKNP untuk musim ini
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM
ADS

PKNP FC mengikat bekas pemain import Perak, Yashir Pinto selama setahun bagi mengharungi kempen Liga Super dan Piala Malaysia pada musim ini, kata presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, keputusan untuk menandatangani khidmat pemain kebangsaan Palestin itu dibuat selepas perbincangan dilakukan oleh pihak pengurusan berdasarkan pengalamannya beraksi dalam saingan liga di negara ini bersama Perak dan Melaka.

"Beliau dah biasa dan sinonim dengan persekitaran bola sepak kita yang pada 2016 bersama Melaka dan pada musim 2017, beliau bersama Perak.

"Beliau juga boleh beraksi di beberapa posisi terutama di bahagian tengah dan penyerang. Jadi itu antara kelebihan yang kita lihat dan setuju untuk mengambil beliau bagi memperkuatkan pasukan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini.

Yashir Pinto 

Untuk rekod, Pinto, 27, merupakan awang import ketiga yang ditandatangani oleh PKNP FC selepas Thomas Abby, 26, dari Ghana dan pemain kebangsaan Tajikistan, Sijavush Asrorov, 27, bagi menghadapi Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Zainol Fadzi berkata pihaknya berharap Pinto mampu beraksi cemerlang selain membantu PKNP FC meraih sasaran sekurang-kurangnya menduduki tangga kelima liga super pada musim ini.

Selain itu, katanya, PKNP FC dalam perancangan untuk menandatangani seorang lagi pemain import dari Senegal yang beraksi di bahagian serangan dalam masa terdekat namun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut berikutan pemain itu masih menjalani ujian bersama pasukan dan perlu melepasi beberapa syarat ditetapkan.

Sementara itu, Pinto ketika ditemui dalam sidang media berkata beliau gembira kerana dapat kembali beraksi dalam kancah liga Malaysia selepas bersama kelab Chile, Coquimbo Unido, tahun lalu.

Katanya, beliau berjanji akan membantu PKNP FC sebaik mungkin sekali gus memastikan sasaran pihak pengurusan akan dapat digapai.

"Saya yakin pasukan ini mampu pergi jauh dan dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Hafiz Kamal, Mohd Fazrul Hazri Kadri dan dua pemain import lain, kita mampu menyaingi pasukan lain.

- Bernama

Lihat Komen