malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pemain bola sepak Perlis mahu lapor SPRM
ADS

Kemelut melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memasuki fasa baru apabila pemain yang tidak dibayar gaji mengancam membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana gaji mereka dipotong RM300 seorang bagi membayar gaji jurulatih pada Mac 2018.

Mereka mendakwa Timbalan Presiden PFA Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan memaksa gaji 18 pemain bagi bulan tersebut dipotong kerana persatuan tidak mempunyai wang mencukupi membayar gaji jurulatih.

Ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman, 30, yang membuat pendedahan itu berkata, mereka sengaja tidak mendedahkan perkara itu lebih awal kerana mahu isu gaji 27 pemain dan kakitangan PFA selama tujuh bulan diselesaikan secara elok.

"Oleh kerana PFA mahu mengambil tindakan undang-undang kerana kami mendedahkan salah laku mereka (pengurusan terdahulu) kepada media mengenai gaji tertunggak, jadi kami pula tidak akan teragak-agak membuat aduan kepada SPRM.

"Malah caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibuat sejak Januari tahun lepas sebelum ísu tunggakan gaji didedahkan,” katanya kepada Bernama di Kangar, hari ini.

Menurut Ezzrul Ikmanizar laporan yang akan dibuat kepada SPRM bertujuan supaya agensi itu boleh menyiasat kemungkinan wang persatuan disalahgunakan kerana gaji pemain dipotong tetapi caruman kepada KWSP tidak dibuat.

Semalam, Mohd Abdul Karim Khan dalam satu kenyataan berkata, PFA bercadang mengambil tindakan undang-undang setelah para pemain mendedahkan isu tunggakan gaji mereka kerana menyifatkannya mencemarkan nama baik PFA.

Ezzrul Ikmanizar menolak dakwaan Mohd Abdul Karim Khan bahawa para pemain melanggar disiplin dan menyifatkan kesalahan mereka sengaja dibangkitkan bagi menutup kesalahan PFA.

“Kami akan terus menuntut hak yang dinafikan kerana sejak tidak dibayar gaji kami melakukan bermacam kerja seperti mengambil upah mengecat, menjual burger dan menjadi nelayan untuk terus hidup,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen