malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
PFA akur jika geran tahunan digunakan untuk bayar gaji pemain
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 7:43 AM
Dikemaskini: Jan 17, 2019 4:23 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) akan akur jika pengurusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan geran tahunan yang diperuntukkan kepadanya untuk membayar gaji 27 pemain musim 2018 yang tertunggak.

Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata beliau masih mempunyai masa sehingga awal Mac ini untuk menjelaskan gaji tertunggak semua pemain terbabit berjumlah RM460,000.

Sebelum ini MFL menetapkan syarat PFA hendaklah melunaskan gaji tertunggak itu dalam tempoh 60 hari atau geran tahunan yang diperuntukkan kepada pasukan Singa Utara itu akan digunakan bagi melangsaikan hutang kepada para pemain.

Syarat itu ditetapkan oleh MFL bagi membolehkan Perlis beraksi dalam Liga Perdana tahun ini.

“Kita akan mengadakan pertemuan semula dengan semua pemain terbabit dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu,” kata Ahmad Amizal Shaifit di Kuala Lumpur semasa dihubungi Bernama hari ini.

-- LAGI

PFA-GAJI 2 KANGAR

Ahmad Amizal berkata beliau baru memegang jawatan kira-kira tiga bulan dan perlu membetulkan banyak perkara terutama memantapkan pengurusan pasukan dan pemilihan pemain.

“Saya harap tidak dituduh cuba lepas tangan atau lari daripada membayar gaji mereka. Saya rasa terkilan dengan pemain-pemain yang buat kenyataan media seolah-olah ini semua salah saya dan bukan salah pengurusan terdahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, ketua jurulatih Singa Utara II, Hamizar Hamzah berkata 18 pemain Piala FAM 2018 ditawarkan kontrak untuk bermain bersama pasukan itu namun hanya tiga daripada keseluruhan 35 pemain yang telah dipilih menghadiri latihan pada 2 Jan lepas.

“Justeru, latihan persiapan pramusim terpaksa dianjak kepada 9 Jan namun kehadiran sangat hambar menyebabkan PFA membuat keputusan memilih pemain baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamizar berkata pasukan itu dibentuk bagi menghadapi saingan Piala FAM dan Liga M3 yang dijadualkan bermula Mac depan.

-- BERNAMA

Lihat Komen