malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tidak dibayar gaji, pemain bola sepak Perlis jadi nelayan
ADS

Seramai 27 pemain dan kakitangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang mendakwa tidak dibayar gaji sejak Mac tahun lepas terpaksa menjadi nelayan dan kerani untuk menjana pendapatan sampingan.

Selain itu, sebahagian mereka pula menjadi kerani dan mengambil upah mencuci kereta setelah tidak menerima tunggakan gaji dalam tempoh sembilan bulan itu.

Penjaga gol, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, yang bercakap mewakili kumpulan tersebut berkata PFA gagal membuat sebarang bayaran selama satu musim dari Mac tahun lepas hingga tarikh akhir dijanjikan pada 7 Januari lepas.

"Pengurusan PFA bukan sahaja memberi pellbagai alasan dan berdolak-dalik malah menganggap isu tersebut telah selesai setelah mereka mencapai persetujuan pembayaran akhir tahun lepas," katanya pada sidang media yang dihadiri 16 pemain di Kangar semalam.

Fahmi Izzarin berkata mereka keliru dengan status sebagai pemain kerana PFA telah menandatangani pemain baharu untuk bertanding dalam Liga Malaysia pada musim 2019.

Katanya beliau dan rakan-rakannya telah berkorban menggunakan perbelanjaan sendiri bagi menampung kos penginapan dan pengangkutan untuk mengharungi Liga FAM tahun lepas.

Seorang lagi pemain, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata mereka seakan digantung tidak bertali kerana kontrak yang ditandatangani dengan PFA masih sah dan tidak boleh menyertai pasukan lain selagi tidak dilepaskan oleh persatuan itu.

Katanya presiden PFA yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dalam kenyataan beliau pada Oktober tahun lepas berkata bahawa isu gaji pemain yang tertunggak lebih RM460,000 sejak Mac tahun lepas dianggap selesai setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan cara pembayaran.

“Jika ikut persetujuan pembayaran akan dibuat berperingkat-peringkat namun sehingga kini tidak satu senpun dijelaskan,” kata Ezzrul Ikmanizar.

Kemelut itu menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan menggunakan peruntukan kepada PFA untuk musim 2019 digunakan bagi menjelaskan gaji tertunggak para pemain.

-- Bernama

Lihat Komen