malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Ramsey nak lebih bebas, Emery tak setuju
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 9:31 PM
Dikemaskini: 1:33 PM
ADS

Ketika Aaron Ramsey semakin hampir menjejak kaki ke Allianz Stadium di Turin untuk menyarung jersi skuad Le Zebre, tersebar khabar mengenai isu yang berlaku di London.

Pengurus Arsenal, Unai Emery, berkali-kali menegaskan The Gunners masih berharap Ramsey terus memberi sumbangan kepada pasukan berkenaan.

Pada masa sama kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan yang membolehkan kontrak Ramsey diperbaharui.

Justeru pemain kebangsaan Wales itu memutuskan untuk bertukar angin - daripada pergelutan di liga Inggeris ke kancah Serie A Itali.

Di sebalik perkembangan itu dikatakan Ramsey tidak berpuas hati dengan peranan diberi Emery kepadanya bersama Arsenal.

Ketika Emery tiba di utara London, difahamkan dia akan membina skuad Arsenal dengan mementingkan peranan Ramsey supaya pemain berusia 28 tahun itu kekal.

Namun bekas bos Paris Saint-Germain itu kemudian segera menyedari keupayaan Ramsey tidak sesuai dengan pelan yang ada dalam kepalanya.

Prestasi dianggap memuaskan

Bagi Ramsey dia akan lebih berkesan membantu Arsenal jika diberi ruang lebih luas di kawasan tengah manakala Emery berpendapat sebaliknya.

Dalam perencanaan Emery, Ramsey perlu bermain dengan suasana lebih terkawal. Diberikan peranan menyarung jersi no 10 pun Ramsey tidak serasi.

Justeru untuk menyesuaikan keinginannya jawaban yang ada pada Ramsey ialah beralih ke pasukan lain - juara Serie A Itali.

Di kelab Juventus pengurusnya Massimiliano Allegri sering menggunakan tiga pemain tengah dalam susunan taktikal dan dalam suasana begitu Ramsey memperoleh apa yang diidamkan.

Dan jika Ramsey benar-benar menyarung jersi berbelang hitam putih itu, dia akan menjadi pemain kedua mendapat bayaran termahal di skuad berkenaan selepas Cristiano Ronaldo.

Dengan tiada yuran perpindahan dikenakan untuk peralihan itu, Ramsey akan menjadi pemain Juventus selepas Liga Perdana Inggeris musim ini berakhir beberapa bulan lagi.

Sementara detik itu Emery akan tetap memanfaatkan pemain terbabit kerana yakin dengan kemampuannya.

"Setiap hari saya nyatakan kepada dia, kami perlukan aksinya di atas padang.

"Saya juga sangat gembira dengan prestasi Ramsey dalam perlawanan terbaru (menentang Blackpool dalam saingan Piala FA pada 6 Jan lalu)," katanya.

Namun Emery menegaskan masa depan Ramsey kini terserah kepada pemain itu, keluarga dan ejennya.

"Saya menghormati keputusan Ramsey. Di padang latihan, setaip hari kerjasama berjalan dengan sangat baik dan saya mahu dia memberikan sepenuh perhatian kepada skuad ini," katanya.

Lihat Komen