Pengiklanan

    24 Pasukan Liga Malaysia 2019 diminta lengkapkan pendaftaran pemain


    (Dikemaskini )

    Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengingatkan kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier 2019 supaya melengkapkan pendaftaran pertama pemain pada Khamis ini.

    Berdasarkan peraturan Liga Malaysia (Liga-M), setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu sebelum senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, Ketua Pegawi Operasi (COO) MFL Mohd Shazli Shaik Mohd percaya kesemua pasukan tidak mempunyai masalah untuk membuat pendaftaran kerana sudah diberikan masa yang cukup sebaik pendaftaran dibuka pada hujung November lepas.

    “Semua pasukan sudah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain selain tujuh pegawai pasukan pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi pada perlawanan pertama pada 1 Februari depan.

    “Saya percaya berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan yang bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain. Cuma sebelum ini ada pasukan yang berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa),” katanya.

    Shazli berkata kebanyakan pasukan sudah biasa dengan prosedur pendaftaran pemain, malah MFL turut memainkan peranan dalam memudahkan urusan pendaftaran menerusi sistem FAM MyPAS bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) sejak 2017.

    “Kebanyakan pasukan adalah pasukan yang sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka sudah tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MyPAS,” tambahnya.


    -- Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih