Pengiklanan

    Tujuh pemain Malaysia mara ke semifinal Terbuka Remaja British 2019


    (Dikemaskini )

    Malaysia terus mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan skuasy Terbuka Remaja British (BJO) 2019 apabila tujuh pemain mara ke semifinal di Birmingham dalam kejohanan yang disertai lebih 750 pemain lelaki dan wanita dari 50 negara itu.

    Berdasarkan bilangan peserta semifinal, Malaysia berada di tempat kedua di belakang kuasa besar skuasy Mesir, yang mempunyai 20 pemain manakala tuan rumah dengan lima wakil, yang mana tiga negara ini meraih lebih daripada tiga perempat daripada 40 tempat semifinal, menurut laman web rasmi kejohanan, britishjunioropen.com.

    Kejutan terbesar buat Malaysia adalah apabila pemain pilihan ke-5/8 Harith Danial Jefri mengecewakan pilihan utama Taha Ibrahim dengan 11-4, 11-5, 11-6 pada suku akhir lelaki kategori Bawah (U) 13 pada Jumaat malam (awal Sabtu di Malaysia).

    Pemain berusia 12 tahun itu akan berhadapan pilihan ke-3/4 Yuvraj Wadhwani dari India, yang menewaskan seorang lagi pemain Mesir Yassin Talaat 11-9, 11-7, 11-6, malam tadi.

    Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk mengungguli kategori U-11 bagi lelaki dan wanita apabila pilihan utama M. Nickhileswar menyingkirkan Jack Elriani dari Amerika Syarikat 11-5, 11-1, 11-9 untuk bertemu Seif Eldeen Dahshan dari Mesir manakala Jayden Oon juga berjaya mengalahkan Kareem Fanous 9-11, 16-14, 11-8, 8-11, 11-7 dalam kategori lelaki.

    Pilihan utama wanita U-11 Whitney Wilson pula menewaskan Remass Ibrahim dari Mesir 11-4, 11-5, 11-2 untuk berhadapan seorang lagi pemain Mesir, Shahad Hani.

    Dalam kategori U-15 lelaki, C. Ameenshanraj berjaya melangkah ke peringkat empat terakhir selepas menyingkirkan Shreyas Mehta dari India untuk bertemu Noor Zaman dari Pakistan.

    Juara bertahan, Aira Azman yang juga pilihan utama dalam U-15 wanita perlu bekerja keras menewaskan Haya Mohamed 8-11, 11-3, 11-6, 13-11, untuk bertemu pemain tuan rumah, Torrie Malik.

    Siow Yee Xian menjadi pemain terakhir Malaysia menyertai perlawanan itu selepas mengalahkan Ondrej Vorlícek dari Republik Czech 11-9, 11-2, 11-1 dan bakal bertemu pemain England, Nick Wall dalam kategori U-19 lelaki.

    Bagaimanapun, Malaysia gagal mempertahankan kategori U-19 wanita yang dimenangi S. Sivasangari tahun lepas, apabila kesemua tiga pemain negara tersingkir pada suku akhir.

    Juara U-17 wanita tahun lepas, Aifa Azman kalah kepada pilihan utama Hania El Hammamy dari Mesir 11-6, 12-14, 11-8, 3-11, 6-11; Ooi Kah Yan tewas 4-11, 11-8, 6-11, 5-11 kepada pemain tuan rumah Elise Lazarus manakala Chan Yiwen tersungkur kepada pemain Mesir Farida Mohamed 9-11, 3-11, 13-11, 11-8, 4-11.


    -- Bernama