malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas ketua pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Mohd Radzi berikrar untuk terus menuntut tunggakan gaji daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas bekas majikannya itu bersikap berdiam diri .

Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata tindakan terus membisu KAFA 'mendera' dirinya yang terikat dengan pelbagai komitmen kewangan.

"Perkara ini sudah berulang kali dibangkitkan namun KAFA dilihat seolah-olah melepaskan tangan dan tidak memanggilnya untuk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

"Sebagai bekas pemain pasukan Kelantan saya akan terus bersuara sehingga hak saya diberikan tumpuan oleh KAFA," katanya.

Untuk rekod, Mohd Badhri adalah ketua pasukan yang membawa pasukan TRW memenangi juara berganda iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2012.

Pemain tengah itu berkata beliau turut mengakui tertekan setiap kali memikirkan masalah tunggukan gaji itu kerana permainan bola sepak menjadi sumber pendapatan utamanya untuk menyara keluarganya.

"Saya mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, begitu juga KAFA oleh itu saya harap mereka laksanakan tanggungjawab untuk melunaskan tunggakan gaji saya walaupun ghairah membuat persiapan menghadapi perlawanan musim depan.

"Perkara itu juga telah saya bawa kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan syarat ketat kepada KAFA berhubung pengambilan pemain import susulan persatuan tersebut gagal menyelesaikan tunggakan gaji RM500,000 kepada pengarah tenikal Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan Dramane Traore (RM332,000).


-- Bernama

Lihat Komen