malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
JDT mulakan rundingan dengan Muhammad Akhyar
ADS

Pemain muda berbakat negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid semakin hampir menyertai juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkembangan itu dilihat selepas JDT menerusi laman rasmi Facebook JDT, Johor Southern Tigers hari ini mengumumkan perundingan dengan bekas pemain Kedah itu telahpun bermula.

“Kelab JDT telah memulakan perundingan bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid yang telah diumumkan sebagai pemain bebas dua minggu lalu.

“Kami ingin memperkuat pasukan menjelang tahun bersejarah apabila Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang bertanding di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia),” kata Pengarah Sukan JDT Martin Prest dalam satu kenyataan.

Muhammad Akhyar, 19, mula mencipta nama selepas menyertai skuad Piala Belia Kedah pada 2014 dan bersama skuad Piala Presiden Kedah pada 2016 sebelum diserapkan dalam skuad utama negeri itu pada musim 2017.

Anak muda ini yang menampilkan prestasi menakjubkan pernah dipanggil menyertai skuad Bawah 17 (B-17) kebangsaan pada 2015, B-19 (2017), B-23 (2018) dan terkini bersama skuad senior kebangsaan membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini.

Sebelum ini, isu status Muhammad Akhyar mendapat perhatian ramai selepas timbul perkhabaran kononnya JDT berminat menandatangani kontrak beliau tanpa persetujuan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), namun dinafikan JDT.



-- Bernama

Lihat Komen