malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Kira-kira seminggu dilantik menyandang jawatan presiden baru Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), sudah macam-macam perancangan yang tersusun dalam fikiran Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bagi memajukan sukan bola sepak negeri itu.

Impiannya besar. Dia mahu pasukan bola sepak Perak menjadi sehebat Manchester United sewaktu zaman kegemilangan The Red Devils pada era 1990-an dahulu.

“Kalau seseorang tu menyokong Manchester United, bermakna dia faham bola sepak. Orang yang menyokong Liverpoool dan Arsenal tu, tak berapa faham lagi,” katanya sambil tertawa ketika wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Menganggap tanggungjawab yang digalasnya itu sebagai cabaran besar, Ahmad Faizal berkata beliau tidak menunggu lama untuk mula melakukan kerja.

Contohnya, beliau baru sudah melakukan perbincangan dengan jurulatih Perak dan memuktamadkan barisan pemain import yang sama dengan musim lepas bagi mengekalkan momentum pasukan, selain menandatangani beberapa pemain tempatan.

Persiapan rapi juga perlu diadun kerana skuad Kejor Yeop Kejor itu akan bersaing buat kali pertama di peringkat antarabangsa melalui Liga Juara-juara Asia (ACL).

“Saya mahu Perak memberikan cabaran hebat, dan sekurang-kurangnya dalam banyak pertandingan yang disertai nanti, skuad The Bos Gaurus sekurang-kurangnya ada membawa balik piala," katanya.

Lebih tinggi dari politik

Perkara itu dilihat Ahmad Faizal ebagai kesinambungan daripada kejayaan Perak merangkul Piala Malaysia pada 27 Okt lalu setelah 18 tahun menanti.

Anggota dewan undangan negeri Chenderiang itu juga mengakui kehebatan skuad Perak turut disumbangkan oleh pengurusan terdahulu.

Pengakuan itu - jika dilihat sekali pandang - boleh dianggap kurang peka secara politik. Memberikan pujian kepada pentadbiran lama bermakna mengakui sumbangan tokoh yang ada hubungan dengan BN.

Namun Ahmad Faizal tidak keberatan memberikan pujian berkenaan kerana baginya dunia bola sepak melangkaui politik kepartian.

Sebarang perbezaan fahaman, katanya, perlu diletak di tepi demi pembangunan sukan.

“Sukan ini berevolusi dalam masa yang panjang, jadi kudos kepada mereka yang telah berusaha untuk membawa balik (piala) dan saya akan terus bekerjasama dengan mereka, kerana pada saya, sukan lebih tinggi (darjatnya) daripada politik.

“Di kalangan ahli kongres saya, ahli-ahli gabungan, presiden serta yang dipertua persatuan daerah, datangnya daripada pelbagai parti politik.

“Apabila bercakap tentang nak memajukan bola sepak di Perak, untuk mengekalkan momentum kejayaan, segala topi politik kita tinggalkan di luar. Kita berbincang untuk sukan yang begitu diminati oleh rakyat,” jelasnya.

Namun, jika mahu menjadi sehebat Manchester United, kata Ahmad Faizal, pendidikan dan perkembangan bola sepak harus dilakukan dengan lebih menyeluruh agar mereka yang terlibat terdiri daripada orang yang berilmu.

Belajar rahsia MU

“Saya mahu fokus kepada pembangunan remaja, seperti di Kuala Lumpur yang ada banyak liga kanak-kanak melalui pembabitan kelab-kelab. Saya mahu hidupkan (amalan tersebut) di Perak, untuk bakat baru seawal umur mereka lima tahun," katanya.

Itu pun belum mencukupi buat Ahmad Faizal. Sebagai orang yang menduduki jawatan penting dalam Pafa dia juga bertanggungjawab memikirkan nasib pemain apabila mereka bersara kelak.

Katanya seseorang itu biasanya tidak akan mendapat tempat lagi sebagai pemain apabila mencapai usia 40 tahun.

Pada masa sama kata Ahmad Faizal proses menjadi pemain bola sepak yang baik mesti melalui proses yang panjang.

“Katakan kamu pemain bola yang hebat pada usia sembilan tahun, kemudian tercedera pada usia 15 tahun, itu bukan pengakhiran kerjaya kamu.

"Kamu faham bola sepak. Kami patut beri pendedahan kepada kamu untuk menjadi jurulatih, ahli fisiologi, atau menjadi orang yang memikirkan bagaimana mencari pendapatan kepada stadium selain selain daripada hasil perlawanan bola sepak,” tambahnya lagi.

Kata Ahmad Faizal, itulah perkara yang menjadikan Manchester United dan kelab-kelab besar lain hebat.

Namun, ada satu masalah yang merunsingkan Ahmad Faizal, yang menurutnya boleh merosakkan pemain, iaitu tangga gaji yang terlalu tinggi.

“Saya percaya zaman Manchester United gagah dahulu, mereka ada siling terhadap gaji. [...] Pada 1990-an, mereka menguasai Liga Perdana, tetapi selepas itu mereka jatuh merudum. Kenapa? Sedangkan bajet lebih besar? Ada masalah pada tangga gaji.

“(Seperti di Perak), kita ada pemain yang kita bayar gaji sangat tinggi, tetapi tidak dapat bermain selama setahun.

“Saya rasa saya dah salah pilih profesyen jadi menteri besar. Gaji pemain lagi besar, tau?” katanya lagi.

Ahmad Faizal dilantik sebagai presiden Pafa yang baru pada 6 Dis.


Temu bual ini turut disertai Al-Abror Mohd Yusuf, Abraham Sebastian dan Norman Goh.

Lihat Komen