malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Taring dan kuku Harimau Malaya tak cukup tajam
ADS

Hasrat untuk melihat skuad bola sepak kebangsaan mengulangi kejayaan edisi 2010 Piala Suzuki AFF nampaknya belum kesampaian apabila tewas 1-0 dengan agregat 3-2 berdepan Vietnam pada perlawanan akhir kedua, sebentar tadi.

Aksi di Stadium My Dinh, Hanoi itu bagaimanapun boleh disifatkan sebagai 'kalah bermaruah' berdasarkan komitmen tinggi ditunjukkan skuad Harimau Malaya.

Sayangnya, nasib malang menimpa anak buah Tan Cheng Hoe seawal minit keenam perlawanan apabila dihukum dengan gol tunggal pasukan tuan rumah.

Menerima hantaran silang cantik daripada rakan sepasukan, Nguyen Anh Duc tidak kawal ketat pertahanan Malaysia menewaskan Farizal Marlias dengan rembatan kaki kiri di dalam kawasan kotak penalti.

Gagal tembusi benteng pertahanan 

Kedudukan itu menjadikan Malaysia perlu mengatasi Vietnam dengan kelebihan dua gol sekirannya mahu menjulang piala selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 pada perlawanan akhir pertama, Selasa lalu.

Tersentak dengan jaringan lawan, Zaquan Adha Abd Radzak dan rakan-rakan cuba bangkit menguasai permainan bagaimanapun gagal memperdayakan skuad bimbingan Park Hang-seo.

Beberapa percubaan berjaya dicipta pada aksi 45 minit pertama antaranya melalui sentuhan Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid, tetapi gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Vietnam.

Sementara itu, saingan separuh masa kedua menyaksikan skuad The Golden Dragons semakin berwaspada khususnya di posisi pertahanan di samping cuba mengambil kesempatan untuk menggandakan jaringan gol.

Keadaan itu semakin menyukarkan kem Malaysia dalam usaha memburu gol. 

Mereka dilihat hanya mempunyai peluang ketika sepakan penjuru, namun beberapa percubaan gagal dimanfaatkan sebaiknya.

Malah Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai peluang terbaik untuk menyaingi Vietnam melalui sepakan bebas dilakukan Safawi pada minit ke-54.

Peluang sepertimana dimanfaatkan pemain 21 tahun itu pada perlawanan lalu bagaimanapun dinafikan penjaga gawang lawan, Dang Van Lam yang mempamerkan aksi cemerlangnya sepanjang perlawanan.

Sebagai rekod, keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa meneruskan kemarau trofi sejak lapan tahun lalu sebelum menanti edisi akan datang pada tahun 2020.

Lihat Komen