malaysiakini logo
story-image
ADS

PIALA AFF | Wisel penamat aksi perlawanan akhir pusingan pertama di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak membuatkan debaran jutaan penyokong berasa lega.

Kalau salah perkiraan keputusan seri 2-2 sebentar tadi akan menjadi mimpi ngeri skuad Harimau Malaya yang cuba menjulang piala berpestij untuk rantau Asia Tenggara pada edisi kali ini.

Keputusan aksi perlawanan itu memang jelas tidak memihak kepada anak didik Tan Cheng Hoe untuk dijadikan bekalan bagi dipertaruhkan ke perlawanan penentuan di Hanoi 15 Disember nanti.

Dalam keadaan sekarang Vietnam hanya perlukan keputusan seri 0-0 untuk menjulang Piala AFF tahun ini berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.

Keberadaan Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid dan kapten, Zaquan Adha Abd Radzak di barisan hadapan memang dilihat begitu ghairah sejak awal untuk mencari jaringan awal.

Namun, selepas minit ke-20 rentah pertahanan negara menjadi sumbang selepas pasukan pelawat berhasil meraih gol pertama.

Walaupun berdepan tentangan sengit, percaturan pemain negara tetap tidak kurang membuatkan pasukan pelawat kecut perut.

Misalnya Tandukan Zaquan Adha pada minit ke-15 yang hanya sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol Vietnam dalam usaha memburu jaringan awal.

Momentum kembali pulih

Namun, keadaan sebaliknya berlaku sekali gus rentak dan semangat pemain negara sedikit tercalar selepas pasukan pelawat berhasil meraih gol pertama.

Jaringan Nguyen Huy Hong yang menyudahkan hantaran pantas Phan Van Duc pada minit ke-22 meletakkan pasukan lawan didepan.

Tidak cukup dengan jaringan itu, skuad bola sepak Malaysia sekali lagi dihukum tiga minit berselang hasil jaringan Pham Duc Huy yang menerima umpanan pantas Van Duc.

Kedudukan 0-2 pastinya memberi tamparan tersendiri untuk Malaysia, namun momentum pasukan tuan rumah kembali pulih apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Shahrul Saad.

Pemain kelahiran Perak itu berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-36 berpunca daripada sepakan bebas diambil Syamer Kutty Abba.

Jaringan itu sekali gus memberi harapan untuk mereka bangkit khususnya pada saingan 45 minit kedua.

Kembali dari bilik persalinan, Zaquan Adha dan rakan-rakan kembali memberi tekanan untuk menguasai gelanggan keramat mereka.

Di pihak lawan dilihat cuba menyerap tekanan sekali gus mengimbangi serangan di samping mempertahankan kedudukan semasa yang berpihak pada mereka.

Namun, nasib baik masih berpihak kepada anak buah Cheng Hoe. Safawi Rasid tampil menggembirakan lebih 80,000 penyokong di stadium apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Memanfaatkan sepakan bebas menerusi rembatan dari luar kotak penalti, sentuhan lencong pemain 21 tahun itu berjaya menerjah sisi kanan gawang Vietnam yang dikawal, Dang Van Lam.

Lihat Komen