malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
DUN: Pakaian sukan patuh syariah buat atlet T'ganu mulai 2019
Diterbitkan:  Nov 25, 2018 3:52 PM
Dikemaskini: 8:08 AM
ADS

DUN TERENGGANU | Kerajaan Terengganu akan mula melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri ini bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran termasuk dalam aspek sukan bagi memastikan ia bertepatan dengan tuntutan agama Islam.

Beliau berkata sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki memakai pakaian menutup aurat atau patuh syariah ketika beraksi pada sebarang kejohanan termasuk di dalam dan luar negeri pada musim hadapan.

"Kita telah melantik mufti negeri, Datuk Dr Zulkifly Muda sebagai anggota Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi memberi nasihat dan panduan dalam semua aspek pelaksanaan termasuk pakaian atlet dan jenis sukan kepada kerajaan negeri," katanya.

Namun begitu, tiada tempoh masa ditetapkan untuk penguatkuasaan peraturan tersebut kerana ia bergantung kepada tahap kesediaan atlet itu nanti, katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Kuala Terengganu hari ini.

Pendidikan, kesedaran atlet

Terdahulu pada sesi soal jawab, Wan Sukairi menjawab pertanyaan Hishamuddin Abd Karim (PAS-Tepoh) yang ingin tahu komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah dalam kalangan atlet negeri ini.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak akan mengambil pendekatan drastik berhubung perkara itu sebaliknya akan memastikan semua atlet benar-benar bersedia sebelum perkara itu dikuatkuasakan sebagai undang-undang suatu hari nanti.

Beliau berkata fokus kerajaan negeri pada masa ini adalah menerapkan pendidikan dan kesedaran kepada atlet mengenai kepentingan pemakaian patuh syariah supaya mereka dapat mengikuti peraturan itu dengan sendiri dan bukan kerana terpaksa.

"Untuk atlet bukan Islam tidak ada paksaan dan terpulang kepada mereka untuk pakai mengikut keselesaan mereka tetapi kita galakkan mereka mengikuti pakaian yang patuh syariah.

"Selain itu, peraturan ini nanti juga hanya tertakluk kepada atlet negeri Terengganu sahaja. Untuk atlet dari luar yang datang ke Terengganu mereka boleh berpakaian mengikut peraturan mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen