malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Nik Nazmi tak jadi tanding presiden KLFA, tawar diri timbalan
Diterbitkan:  Nov 5, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:02 AM
ADS

Terdahulu, Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), tetapi kali ini beliau mengubah pendiriannya untuk bertanding jawatan nombor dua badan induk itu.

Nik Nazmi berkata, tindakan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan pertemuan dengan pelbagai pihak khususnya penyandang presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

“Sudah tentu, antara faktor utama keputusan ini dibuat pastilah bagi membolehkan saya menimba pengalaman dalam menguruskan persatuan.

“Meskipun bertanding selaku orang nombor dua KLFA, saya dengan teguh hati, percaya bahawa idea-idea yang telah saya utarakan dalam kenyataan sebelum ini, dapat diteruskan dan direalisasikan, demi kemaslahatan, kelangsungan serta kemajuan KLFA,” kata Nik Nazmi dalam kenyataannya, hari ini.

Nik Nazmi juga berharap ahli gabungan persatuan itu mengekalkan Adnan sebagai presiden persatuan itu dan meminta mereka memilih dirinya sebagai timbalan presiden bagi memastikan gandingan mantap dalam menerajui KLFA.

“Di mana saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menjalinkan kerjasama erat dan strategik dengan semua pihak, bagi merealisasikan impian untuk mengangkat martabat skuad Kuala Lumpur,” katanya.

Pada asalnya, Nik Nazmi menawarkan diri untuk mencabar jawatan presiden sebelum akhirnya membuat keputusan untuk hanya bertanding merebut jawatan nombor dua badan induk itu.

Laluan Adnan untuk terus menerajui persatuan itu dilihat kian cerah kerana beliau kemungkinan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang turut berminat dengan jawatan terbabit.

Bagi jawatan timbalan presiden yang menawarkan dua kerusi, ketika ini hanya Nik Nazmi dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menjadi calon yang berminat untuk bertanding mengisi jawatan berkenaan. 

Lihat Komen