malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Wee Wern rangkul gelaran jelajah PSA kali keempat
ADS

Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern meneruskan kecemerlangan di arena antarabangsa dengan merangkul gelaran Jelajah PSA bagi kali keempat pada Kejohanan Skuasy Terbuka Queensland 2018 di Gold Coast, Australia, hari ini.

Wee Wern, 28, membuktikan bahawa sentuhannya masih berbisa dengan mengambil masa hanya 24 minit untuk menundukkan pemain nombor 77 dunia, Jessica Turnball dari Australia 11-6, 11-5 dan 11-6 pada aksi final di Pusat Skuasy Carrara di Gold Coast

Bekas pemain nombor lima dunia itu sebelum ini terpaksa berehat selama 20 bulan kerana kecederaan serius yang dialami pada lutut.

Ini merupakan kemenangan ketiga Wee Wern di bumi Australia tahun ini selepas merangkul Terbuka Tasmania dan juga Terbuka Australia selain Terbuka Malaysia pada Julai lepas.

"Ini merupakan kejohanan ketiga berturut-turut di Australia yang saya sertai dengan melakar tiga kemenangan.

"Prestasi saya ada kalanya turun dan naik, saya beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan tetapi dalam sesetengah perlawanan, saya terpaksa berhempas untuk mencari rentak, jadi keadaan berbeza ketika ini tetapi saya tidak boleh memberi alasan tidak beraksi selama 20 bulan dan tidak benar-benar mengetahui apa yang dijangka,” Wee Wern dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang skuasy Queensland:www.qld.squash.org.au.

"Saya menyasarkan sehingga 54 (di dunia) bulan ini dengan tiga kejohanan dalam kalender saya, jadi saya beraksi pada Terbuka Queensland untuk meraih lebih banyak mata ranking untuk membolehkan saya melonjak kepada 50 teratas di dunia," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

- Bernama

Lihat Komen