malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Irfan Bakti puas hati prestasi pemain
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 4:12 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan prestasi terbaik anak buahnya dalam saingan timbal balik dengan mengikat keputusan 2-2 bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus melayakkan diri ke pentas final bagi merangkul Piala Malaysia 2018.

Juara musim lalu JDT ditewaskan dengan agregat 3-2 malam tadi di Larkin, keputusan seri 2-2 cukup buat anak buah Irfan Bakti selangkah menjulang piala yang kali terakhir didakap 17 tahun lalu.

Menurutnya, kehadiran penjaga gol skuad Penyu yang berpengalaman, Mohd Suffian Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai ‘Tiger’ itu juga merupakan salah satu faktor kemenangan Terengganu FC selepas menyelamatkan percubaan skuad Harimau Selatan yang bertali arus pada awal permainan.

"Dia telah menunjukkan satu persembahan yang baik, kalau tidak kerana dia bagus, saya tidak akan meletakkan dia dalam kesebelasan utama, dia adalah penjaga gol yang terbaik buat masa ini.

"Walaupun JDT menguasai permainan dan sangat kuat di bahagian tengah dan passing game, cuma peluang untuk skor adalah kami sebenarnya, saya berpesan dengan pemain mereka punyai peluang untuk skor walaupun tidak dapat berbuat demikian pada separuh masa pertama namun masa kedua mereka bangkit," katanya (gambar) kepada pemberita.

Beliau juga tidak menyangkal kemungkinan bertemu Perak di final dan tidak mahu pemainnya memandang remeh selepas melihat prestasi cemerlang skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmed Durakovic itu menewaskan Sabah 5-0 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Perak, 7 Oktober lepas.

Sementara itu, bagi Ketua Jurulatih JDT, Luciano Figueroa pemain sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu selepas menguasai keseluruhan permainan dan sering memberi tekanan ke kubu TFC, tetapi gagal menterjemahkan peluang terhidang dengan jaringan.

"Kami sangat sedih kerana terkeluar, tetapi kami bermain dengan baik, menyerang dan mencipta banyak peluang untuk mencipta gol dalam permainan pertama dan kedua.

"Kami mahu menang dan kami mahu pergi ke perlawanan akhir tetapi bukan kali ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen