malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Juara bola sepak veteran dedikasi kemenangan buat isteri pemain
ADS

Pasukan Kharkiv Masters yang muncul juara acara bola sepak kategori 55 tahun ke atas Sukan Masters Asia Pasifik (APMG) 2018 mendedikasikan pingat emas dimenangi mereka kepada rakan sepasukan, Oleksandr Shcherbinin yang meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.

Anggota pasukan itu, Olexsandr Luhanskyi, 60, berkata pingat emas itu akan diserahkan kepada isteri Shcherbinin sejurus mereka kembali ke tanah air di Kiev, Ukraine.

“Kita akan menganugerahkan pingat emas ini kepada isteri beliau sebagai tanda penghormatan...isteri beliau sentiasa memberi sokongan. Beliau juga mempunyai dua anak perempuan yang sangat baik,” kata Luhanskyi kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Pasukan Kharkiv Masters muncul juara selepas lawan mereka dari Mongolia, pasukan Mongol 50 menarik diri sebagai menunjukkan rasa hormat atas insiden itu.

Dalam pada itu, Luhanskyi berkata Shcherbinin pernah menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa sejak 2005 seperti di Sydney, Auckland, Sweden serta Itali, dan terbaharu di Pulau Pinang.

“Kita akan mengambil bahagian pada temasya sukan Masters seterusnya.

"Kita akan lebih mantap dan kenangan dengan Shcherbinin akan terus bersama kami. Beliau seorang yang bersemangat serta sangat optimis, dan kemenangan ini ditujukan khas kepada beliau,” kata Luhanskyi.

Luhanskyi berkata Shcherbinin merupakan seorang usahawan yang berjaya dalam perkhidmatan logistik dan pengangkutan di Ukraine, namun beliau amat meminati sukan bola sepak.

Pemain hebat sepanjang kejohanan

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang juga merupakan anggota pasukan Kharkiv Masters, berkata Shcherbinin adalah seorang pemain yang hebat sepanjang kejohanan tersebut.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan penganjur APMG untuk menghubungi Kedutaan Ukraine bagi mempercepatkan proses membawa pulang mayat Shcherbinin ke negara asalnya.

Shcherbinin, 57, yang beraksi sebagai penjaga gol pasukan Kharkiv Masters, rebah di bilik hotel pada 6.55 pagi selepas mengadu sakit dada kepada rakan sebiliknya, sebelum diserang sakit jantung.

Mayat Shcherbinin dijangka dibenarkan dibawa keluar dari Hospital Pulau Pinang esok, dan proses penghantaran pulang ke Ukraine dari Kuala Lumpur, sama ada pada Ahad atau Isnin ini.

- Bernama

Lihat Komen